PUTRAJAYA: Mahkamah Rayuan hari ini menolak saman yang dikemukakan penyandang kerusi Parlimen Klang Charles Santiago dan seorang pengundi Parlimen Pandan bagi menghalang Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) daripada mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Susulan keputusan itu, hari pengundian yang ditetapkan SPR pada Sabtu ini akan diteruskan.

Hakim Datuk Azizah Nawawi, yang mengetuai panel tiga hakim, berkata keputusan untuk membubarkan Parlimen adalah budi bicara mutlak Yang di-Pertuan Agong dan budi bicara Seri Paduka tidak wajar diadili oleh mahkamah.

"Menurut Perlembagaan Persekutuan, hanya Yang di-Pertuan Agong mempunyai kuasa membubarkan Parlimen di bawah Perkara 55 (2) Perlembagaan Persekutuan dan kemudiannya pilihan raya umum hendaklah diadakan," kata Azizah yang bersidang bersama Datuk Che Mohd Ruzima Ghazali dan Datuk See Mee Chun.

Beliau berkata perintah yang dimohon Santiago dan Syed Iskandar Syed Jaafar untuk menghalang SPR daripada mengambil langkah menjalankan PRU15 adalah tidak boleh dipertahankan di sisi undang-undang.

"Suruhanjaya Pilihan Raya mempunyai tugas perlembagaan untuk menjalankan pilihan raya umum di bawah Perkara 113 Perlembagaan Persekutuan dalam tempoh 60 hari selepas Parlimen dibubarkan seperti yang diperuntukkan di bawah Perkara 55 (4) Perlembagaan Persekutuan," kata Azizah.

Beliau memetik kes sebelum ini yang menyatakan SPR tidak boleh dihalang atau dilarang daripada melaksanakan tugas perlembagaannya di bawah Perlembagaan Persekutuan.

Dalam keputusan mahkamah, hakim itu berkata walaupun terdapat merit dalam dakwaan perayu bahawa isu sama ada Perdana Menteri mesti bertindak atas nasihat kabinet untuk memohon pembubaran Parlimen adalah perkara yang boleh dicabar di mahkamah, permohonan pembubaran Parlimen telah diterima oleh Yang di-Pertuan Agong dan keputusan Seri Paduka tetap tidak boleh diadili.

Beliau berkata rayuan Santiago dan Syed Iskandar tidak mempunyai merit dan menolak tindakan undang-undang mereka tanpa arahan mengenai kos.

Beliau berkata hakim Mahkamah Tinggi tidak salah untuk membatalkan saman pemula Santiago dan menolak permohonan Syed Iskandar bagi mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman atas alasan keputusan Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen tidak boleh diadili.

Sementara itu, Azizah juga menolak permohonan peguam R. Kengadharan yang mewakili Syed Iskandar untuk injunksi sementara bagi menghalang SPR daripada menjalankan pilihan raya umum sementara menunggu permohonan kebenaran merayu difailkan di Mahkamah Persekutuan.

Santiago, yang mahu mahkamah mengembalikan semula saman pemula beliau terhadap Perdana Menteri sementara iaitu Datuk Seri Ismail Sabri, kerajaan Malaysia dan SPR, memohon beberapa perintah termasuk deklarasi bahawa permintaan Perdana Menteri kepada Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen adalah terbatal dan tidak sah kerana tidak dilakukan atas nasihat Kabinet.

Syed Iskandar pula memohon mahkamah memberi kebenaran kepada beliau untuk memulakan semakan kehakiman bagi mencabar pembubaran Parlimen dan langkah mengadakan pilihan raya umum.

Saman pemula Santiago dibatalkan pada 28 Okt selepas Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan kerajaan.

Mahkamah Tinggi yang sama turut menolak permohonan Syed Iskandar untuk kebenaran bagi memulakan semakan kehakiman.

Prosiding hari ini dijalankan secara dalam talian.

Peguam Datuk Malik Imtiaz Sarwar dan A. Surendra Ananth mewakili Santiago manakala peguam Tan Sri Zulkefli Ahmad Makinudin dan Datuk Wira Mohd Hafarizam Harun mewakili Ismail Sabri, kerajaan Malaysia serta SPR.

Bagi kes Syed Iskandar, beliau diwakili peguam Yasmeen Soh Sha-Nisse manakala Peguam Kanan Persekutuan Shamsul Bolhassan, Ahmad Hanir Hambaly @ Arwi dan Peguam Persekutuan Low Wen Zhen mewakili Pengerusi SPR Ismail Sabri dan kerajaan.

-- BERNAMA