PUTRAJAYA: Dua rayuan Datin Seri Rosmah Mansor supaya Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan menarik diri daripada mendengar kes pengubahan wang haram dan pengelakan cukainya akan didengar pada 17 Mac 2023 di Mahkamah Rayuan.

Rosmah, isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak merayu terhadap dua keputusan Hakim Mohamed Zaini yang menolak permohonan pertama Rosmah pada 14 Dis 2021 dan permohonan kedua pada 25 April lepas.

Timbalan Pendakwa Raya Poh Yih Tinn memberitahu Bernama bahawa Timbalan Pendaftar Mahkamah Rayuan Khairi Haron menetapkan tarikh pendengaran itu selepas pengurusan kes dijalankan melalui sidang video hari ini.

Bulan lepas, panel tiga hakim Mahkamah Rayuan menangguhkan pendengaran rayuan Rosmah kerana mahkamah mahu pihak pembelaan dan pendakwaan memfailkan hujahan lanjut sama ada ia mempunyai bidang kuasa untuk mendengar rayuan itu.

Rosmah, 70, berdepan 12 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750 dan lima pertuduhan gagal mengisytihar pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang di sini, antara 4 Dis 2013 dan 8 Jun 2017 dan di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini dari 1 Mei 2014 hingga 1 Mei 2018.

Pada 1 Sept lalu, Hakim Mohamed Zaini mendapati Datin Seri Rosmah Mansor bersalah atas ketiga-tiga pertuduhan rasuah berkaitan projek hibrid solar bernilai RM1.25 bilion untuk 369 sekolah luar bandar di Sarawak dan menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun dan denda RM970 juta.

Mahkamah juga memerintahkan Rosmah dipenjara 30 tahun jika gagal membayar denda itu. Bagaimanapun Mahkamah Tinggi membenarkan permohonan penangguhan pelaksanaan hukuman penjara dan denda sementara menunggu rayuannya di Mahkamah Rayuan.

-- BERNAMA