PUTRAJAYA: Dua rayuan Datin Seri Rosmah Mansor supaya Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan menarik diri daripada mendengar kes pengubahan wang haram dan pengelakan cukai yang dihadapinya akan didengar di Mahkamah Rayuan pada 22 Nov ini.

Isteri bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak itu merayu terhadap dua keputusan Hakim Mohamed Zaini pada 14 Dis 2021 dan 25 April lepas yang menolak permohonan Rosmah bagi beliau menarik diri daripada mendengar kes berkenaan.

Timbalan Pendakwa Raya Poh Yih Tinn ketika dihubungi berkata tarikh pendengaran itu ditetapkan Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Rayuan Tan Chai Wei pada pengurusan kes yang berlangsung melalui sidang video hari ini.

"Pihak-pihak terlibat perlu memfailkan hujahan bertulis pada 8 Nov ini," katanya.

Peguam Rosmah, Datuk Geethan Ram Vincent ketika dihubungi mengesahkan perkara itu.

Rosmah menfailkan dua permohonan supaya Hakim Mohamed Zaini menarik diri daripada mendengar perbicaraan kesnya dan kedua-duanya ditolak oleh hakim berkenaan.

Dalam permohonannya, Rosmah antara lain menyatakan alasan untuk mengelakkan sebarang kemungkinan berat sebelah berlaku sekiranya Hakim Mohamed Zaini mendengar dan memutuskan kes pengubahan wang haram kerana hakim sama turut mendengar satu lagi kes yang dihadapinya berkaitan projek tenaga solar di sekolah luar bandar Sarawak.

Rosmah, 70, berdepan dengan 12 pertuduhan pengubahan wang haram berjumlah RM7,097,750, serta lima pertuduhan gagal mengisytihar pendapatannya kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Affin Bank Berhad, Cawangan Bangunan Getah Asli, Jalan Ampang di sini, antara 4 Dis 2013 dan 8 Jun 2017 dan di LHDN, Kompleks Bangunan Kerajaan, Jalan Tuanku Abdul Halim, di sini dari 1 Mei 2014 hingga 1 Mei 2018.

Kes pengubahan wang haram dan pengelakan cukai itu ditetapkan untuk sebutan di hadapan Hakim Mohamed Zaini pada 22 Julai ini.

Bagi kes solar, Hakim Mohamed Zaini menetapkan 1 Sept ini untuk keputusan sama ada Rosmah akan dibebaskan atau disabitkan dengan tiga pertuduhan rasuah.

-- BERNAMA