KUALA LUMPUR: Tindakan Mahkamah Persekutuan menolak permohonan pasukan peguam bela baharu Datuk Seri Najib Tun Razak yang meminta diberi masa untuk membuat persiapan bagi rayuan utamanya berhubung penyelewengan dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd, disifatkan sebagai adil dan munasabah.

Pengarah Eksekutif Pusat Memerangi Kronisme dan Korupsi (C4), Cynthia Gabriel berkata, tindakan penukaran pasukan pembelaan sebelum itu juga mengejut ramai pihak. 

"Pembelaan tentunya sedia maklum mengenai tarikh rayuan yang sudah ditetapkan selama 10 hari, dari 15 hingga 26 Ogos ini. 

"Maka tindakan permohonan untuk melanjutkan kes ini seolah-olah menghina dan membuang masa mahkamah," katanya kepada Astro AWANI pada Forum Anti Rasuah 2022 yang dianjurkan oleh Majlis Peguam dengan kerjasama C4 di sini, pada Jumaat.

Tambahan pula Cynthia memberitahu, kes terbabit didengar oleh lima panel hakim kanan yang berpengalaman dan pernah mengendalikan banyak kes berprofil tinggi.

Ikuti perkembangan kes Najib Razak di sini

Katanya, kes itu bukan sahaja kes kepentingan awam yang hanya menarik perhatian media dan rakyat tempatan malah rakyat antarabangsa  juga, dimana ia memberi penekanan kepada dakwaan penyelewengan dana yang membabitkan seorang bekas Perdana Menteri.

"Tindakan ini (permohonan penangguhan) dilihat sebagai taktik untuk melengah-lengahkan kes. Jadi saya berpendapatan keputusan Mahkamah Persekutuan adalah adil dan munasabah," jelasnya.

Menurutnya, keputusan itu memberi mesej jelas kepada orang ramai supaya tidak 'cuba memainkan' mana-mana mahkamah terutamanya Mahkamah Persekutuan yang dianggotai hakim-hakim kanan.

Pada Selasa lalu, panel lima hakim yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara Tun Tengku Maimun Tuan Mat  menolak permohonan pasukan peguam baharu Najib Razak yang minta diberi masa untuk membuat persiapan bagi rayuan dan memerintah rayuan diteruskan mengikut jadual.

Pada 26 Julai lalu, Ahli Parlimen Pekan itu memberhentikan khidmat Tetuan Shafee & Co yang mewakilinya dalam kes SRC International sejak 4 Julai 2018, dengan serta-merta dan melantik firma guaman Tetuan Zaid Ibrahim Suffian TH Liew & Partners (ZIST) sebagai peguam cara baharu.

Semalam, mahkamah turut menolak permohonan peguam Hisyam Teh Poh Teik untuk menarik diri daripada mewakili Najib dan memerintahkan pihak pendakwaan untuk membentangkan penghujahan.

Pada 28 Julai 2020, Hakim Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, yang kini hakim Mahkamah Rayuan, menjatuhkan hukuman penjara 10 tahun terhadap Najib bagi setiap tiga pertuduhan pecah amanah jenayah (CBT) dan setiap tiga pertuduhan pengubahan wang haram, dan penjara 12 tahun serta denda RM210 juta (jika gagal bayar, penjara lima tahun) bagi tuduhan menyalahgunakan kedudukan.

Tahun lepas, Mahkamah Rayuan mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi dan menolak rayuan Najib untuk mengetepikan sabitan dan hukuman penjara serta denda.