PUTRAJAYA: Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mengakui beliau kini tidak dapat mempertahankan diri dengan adil selepas permintaan peguam belanya Hisyam Teh Poh Teik untuk mengecualikan diri, ditolak Mahkamah Persekutuan.

Bercakap kepada sidang media selepas prosiding ditangguhkan, Ahli Parlimen Pekan itu berkata, beliau membantah sekeras-kerasnya keputusan panel lima hakim dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat untuk meneruskan proses rayuan.

Katanya lagi, Hisyam berulang kali memberitahu Mahkamah Persekutuan tentang ketidaksediaan mereka untuk membuat hujahan, atas alasan tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk melihat hampir 200 jilid dokumen berkaitan SRC International.

“Saya hendak memasukkan dalam rekod di sini bahawa saya membantah sekeras-kerasnya prosiding rayuan hari ini, di mana hak saya, kehidupan saya dan hak untuk perbicaraan yang adil sedang dipertaruhkan.

“Seperti yang anda sedia maklum, peguam saya telah menyatakan mereka tidak dapat meneruskan hujahan (lisan) kerana kekangan masa. Malangnya mahkamah tidak membenarkan perkara itu berlaku.

“Justeru saya tidak dapat membentangkan pembelaan saya hari ini dan hanya pendakwaan yang dapat membentangkan hujah mereka bagi kes berprofil tinggi seperti ini.

"Ini sesuatu yang tidak pernah berlaku, di mana dalam kes jenayah, tertuduh tidak mempunyai peguam bela,” tegasnya lagi.

Najib, yang disabitkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta berhubung dana RM42 juta SRC International, sekali lagi menjelaskan mengapa mengambil keputusan untuk menggantikan Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah.

“Saya ingin jelaskan bahawa Tan Sri Muhammad Shafee telah melakukan kerja yang cukup baik dalam pembelaan, biarpun kalah di peringkat Mahkamah Tinggi dan Mahkamah Rayuan. Dan cubaan saya untuk mendapatkan Peguam Kanan United Kingdom juga ditolak.

“Atas sebab itu saya tiada cara lain melainkan melantik barisan Hisyam dan Datuk Zaid Ibrahim, kerana saya perlukan perspektif berbeza,” kata Najib sambil menerangkan ia adalah kebiasaan bagi pasukan baharu untuk melihat kesemua dokumen berkaitan dalam kes berkenaan.

Susulan permohonan pembelaan untuk ditangguhkan perbicaraan itu juga ditolak, Najib berkata, Hisyam tiada jalan lain melainkan membuat permohonan untuk mengecualikan diri.

“Itu pun tak dibenarkan Mahkamah Persekutuan. Saya kini terpaksa berhadapan dengan realiti bahawa saya mungkin tidak akan ada peguam bela lagi,” katanya lagi.

Yang paling menyedihkan, Najib berkata, beliau tidak mampu untuk mempertahankan diri, biarpun percaya Hisyam dan pasukannya mampu untuk membuat pembelaan kukuh sekiranya permohonan penangguhan mereka dibenarkan.

“Saya cuma mampu berdoa untuk perbicaraan yang adil dan saksama,” katanya lagi.