Keputusan kerajaan tidak membenarkan mayat atau abu Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya Chin Peng dibawa pulang ke negara ini adalah tindakan tepat memandangkan dia bukan warganegara Malaysia.

Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Razali Ibrahim menegaskan ini berbeza dengan langkah kerajaan membenarkan jenazah dua suspek pengganas, Dr Azahari Husin dan Nordin Mohamad Top dikebumikan di negara ini setelah ditembak mati pasukan keselamatan Indonesia.

Beliau berkata Allahyarham Azahari dan Nordin adalah rakyat Malaysia, sebab itu kerajaan tidak membantah apabila keluarga mereka mengebumikannya di Melaka dan Pontian.

"Berbeza dengan Chin Peng, selain daripada bukan rakyat negara ini, dia juga adalah orang bertanggungjawab menyebabkan ribuan anggota pasukan keselamatan termasuk Askar Melayu Diraja terbunuh ketika darurat dahulu," katanya kepada pemberita di sini pada Sabtu.

Razali mengulas mengenai gesaan Naib Presiden MCA Gan Ping Siew yang mahukan kerajaan membenarkan mayat atau abu pemimpin komunis itu dibawa masuk ke Malaysia demi menghormati Perjanjian Hatyai.

Malah katanya semasa bersetuju meletakkan senjata dalam perjanjian di Selatan Thailand pada tahun 1989, pemimpin komunis itu tetap memperjuangkan ideologinya dan tidak segera mengemukakan permohonan untuk menjadi warganegara Malaysia.

"Ini menunjukkan Chin Peng tidak menghormati Yang di-Pertuan Agong dan tidak mengakui sistem demokrasi yang diamalkan di negara ini," katanya.