Keterbukaan Malaysia menerima pelarian Syria dilihat sebagai tindakan terbaik dalam meringankan beban dan masalah kumpulan berkenaan.

Bagi Timbalan Pengerusi Persatuan Etnik Rohingya Malaysia Kedah, Yusof Ali, beliau mengakui banyak kelebihan dinikmati pelarian Syria yang diberi perlindungan di negara ini sama seperti pelarian Rohingya.

"Kami gembira dengan perkhabaran (pengumuman Datuk Seri Najib Tun Razak) tersebut. Ini kerana anak-anak pelarian Syria boleh dalami agama Islam di sini.

"Ini negara Islam. Tinggal di sini lebih seronok kerana banyak perkara boleh dilakukan bersama. Kerajaan Malaysia banyak bantu pelarian seperti kami," katanya ketika dihubungi Astro Awani.

Tambah Yusof, derita yang dialami pelarian Syria lebih dahsyat kerana terpaksa menghadapi perang dan sengketa sesama agama dan bangsa berbanding pelarian Rohingya yang berdepan penindasan kerajaan tentera Buddha yang memerintah Myanmar.

Berdasarkan statistik UNHCR, sehingga Februari lepas, terdapat 152,570 pelarian berdaftar dengan agensi itu di Malaysia dengan 141,570 adalah dari Myanmar.

Terdapat juga pelarian Myanmar khususnya Rohingya yang tidak berdaftar dengan UNHCR menjadikan bilangannya lebih tinggi.

Perdana Menteri dalam ucapannya pada sesi ke-70 Perhimpunan Agung Pertubuhan Bangsa Bersatu (PBB) di New York pada Khamis berkata Malaysia akan membuka pintu kepada 3,000 pelarian Syria dalam tempoh tiga tahun akan datang bagi membantu meringankan krisis pelarian.