KUALA LUMPUR: Sebarang pertimbangan untuk pemberian rebat atau diskaun bil elektrik pada masa akan datang adalah tertakluk kepada kedudukan kewangan kerajaan, kata Menteri Tenaga dan Sumber Asli Datuk Seri Takiyuddin Hassan.

Menyatakan perkara itu pada sesi penggulungan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) di Dewan Rakyat semalam, beliau berkata kerajaan sedar bahawa semua kategori pengguna elektrik terkesan dengan pandemik COVID-19 yang melanda negara sejak awal tahun 2020.

"Pada 2020 kerajaan memberikan diskaun bil elektrik melibatkan perbelanjaan sebanyak RM2.75 bilion yang dibiayai bersama Kementerian Kewangan melalui dana Kumpulan Wang COVID-19 (KWC), dana Kumpulan Wang Industri Elektrik dan Tenaga Nasional Berhad," katanya.

Beliau berkata demikian sebagai respons kepada cadangan Shaharizukirnain Abdul Kadir (PAS-Setiu) pada sesi perbahasan, agar pemberian diskaun bil elektrik kepada pengguna domestik perusahaan mikro kecil dan sederhana yang berakhir pada 30 Sept lepas dilanjutkan hingga Disember ini.

Takiyuddin berkata pemberian diskaun bil elektrik sehingga 40 peratus secara bersasar kepada pengguna domestik dan diskaun lima peratus kepada perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) bagi tempoh 1 Julai hingga 30 Sept 2021 di Semenanjung dan Sabah itu, melibatkan peruntukan RM487 juta.

Sementara itu dalam respon kepada isu perlombongan diutarakan Wong Chen (PH-Subang), beliau berkata Kerajaan Persekutuan sentiasa memastikan Surat Kelulusan Skim Pengendalian Melombong (SKSPM) tidak dikeluarkan untuk perlombongan di atas tanah berstatus Hutan Simpanan Kekal atau rizab perlindungan, serta kawasan yang diwartakan sebagai kawasan sensitif alam.

"Malah Kerajaan Persekutuan juga amat tidak bersetuju jika ada cadangan untuk kerajaan negeri membuat pewartaan keluar Hutan Simpanan Kekal bagi tujuan perlombongan," katanya.

-- BERNAMA