KUALA LUMPUR: SOLAT sunat Tarawih merupakan pengisian yang sering direbut umat Islam setiap kali bulan Ramadan tiba.

Ini kerana, amalan solat sunat itu hanya dilakukan pada bulan penuh kemuliaan tersebut.

Selain memilih melakukannya secara berjemaah di masjid atau surau, ada juga yang menunaikan solat sunat itu di rumah bersama ahli keluarga.

Ramadan merupakan bulan 1,001 rahmat dan amalan di bulan ini, sunat dan wajib, akan mendapat ganjaran berlipat ganda.

Timbalan Presiden WADAH, Ustaz Hasri Harun menerusi tulisannya menyatakan, Tarawih secara umum ertinya istirahat.

“Amalan solat dan hubungannya dengan rehat ini mengandung makna yang cukup mendalam. Apabila kita bersolat ertinya kita tunduk dan berserah kepada Allah.

“Justeru malam-malam di bulan Ramadan, kita disunatkan bersolat tarawih dalam keadaan yang tenang dan penuh kerehatan. Tidak tergesa-gesa dan keterlaluan.

“Lakukan solat anda di malam-malam Ramadan dengan tenang dan melaksanakannya dengan penuh khusyuk dan merasai akan nikmat solat tersebut,” tulisnya.

Tambahnya, Rasulullah SAW mengingatkan umat Islam bahawa melakukan solat-solat sunat di malam Ramadan mempunyai fadilat yang sangat besar seperti mana hadisnya :

“Sesiapa yang mendirikan solat (Tarawih) pada malam hari di bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan ikhlas, maka Allah mengampunkan segala dosanya yang telah lalu.” (Hadis riwayat Bukhari).

Katanya, lakukan solat Tarawih dengan ikhlas kerana Allah bukan kerana manusia kerana janji Allah, jika anda melaksanakannya dengan penuh keikhlasan, maka anda akan diampunkan dosa yang telah lalu.

Dalam pada itu, bekas Menteri Agama, Datuk Seri Zulkifli Mohamad Al-Bakri dalam beberapa siri ceramah Ramadannya turut memberitahu amalan ketika bulan Ramadan, yang sunat pahalanya seperti fardu. 

Manakala yang fardu pula, pahalanya seakan melakukannya sebanyak 70 kali solat fardu, demikian besarnya ganjaran pahala ketika bulan mulia ini.

“Rasulullah bersabda, siapa yang buat baik, satu saja cabang kebaikan, sunat pada bulan Ramadan pahalanya macam buat satu fardu.

“Siapa yang buat satu fardu, macam buat 70 fardu, Maknanya pahalanya cukup besar pada bulan Ramadan.

“Ramadan bila dia datang, dia bawa 1,001 rahmat, 1,001 macam kelebihan, banyak sangsa kelebihan, Kita boleh tengok satu persatu.

“Bulan Ramadan ini bila dia datang, dibuka pintu-pintu syurga, ditutup pintu-pintu neraka dan ditambat syaitan-syaitan.

“Bilangan syurga ada berapa? Apa yang kami dapat berdasarkan maklumat kami dapat, syurga ini ada empat,” ujarnya.

Ingatlah, solat sunat Tarawih bukan hanya tradisi tapi ia juga amalan yang di dalamnya terdapat banyak hikmah dan pastinya, pahala berganda.