SERDANG: Polis mengesan rekahan baharu di jalan berhampiran kawasan tanah mendap di Lestari Perdana Seri Kembangan di sini, akibat hujan lebat pada Rabu.

Ketua Polis Daerah Serdang, Asisten Komisioner A A Anbalagan berkata, perkara itu telah dimaklumkan kepada Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBPJ) untuk kerja membaik pulih jalan berkenaan.

"Saya juga dimaklumkan sebanyak 50 cerucuk kepingan besi sedang dipasang sepanjang 150 meter di lokasi kejadian tanah mendap.

"Proses masih giat dilaksanakan dan mengambil masa kira-kira tujuh hari bagi memastikan tiada pergerakan tanah serta rekahan di kawasan lain," katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Pelancaran Op Selamat 17 sempena Tahun Baharu Cina di Plaza Tol Sungai Besi arah selatan di sini pada Khamis.

Anbalagan berkata, pihaknya telah menasihatkan 17 pemilik premis komersial di kawasan itu untuk terus mengosongkan kedai masing-masing hingga keadaan kembali selamat.

"Jabatan Kejuteraan MBPJ sedang membuat penilaian perkara itu dari semasa ke semasa," katanya.

Mengenai kenderaan rosak akibat tanah mendap, Anbalagan berkata, pemilik kenderaan terbabit boleh membuat laporan polis untuk tuntutan dan pampasan insurans.

"Setakat ini, kita masih belum menerima sebarang laporan daripada pihak terbabit. Kita dimaklumkan kereta itu milik pelanggan bengkel di kawasan kejadian.

"Kalau kereta itu mempunyai insurans, mereka boleh membuat laporan polis untuk tindakan susulan," katanya.

Pada Selasa, media melaporkan lima kenderaan yang diparkir di kawasan itu rosak akibat tanah mendap.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia menerima panggilan pada jam 6.38 petang bergegas ke lokasi dan mendapati lima kenderaan rosak akibat kejadian berkenaan.

Bagaimanapun, tiada kemalangan jiwa dilaporkan.


Artikel asal di Sinar Harian