IPOH: Seorang remaja lelaki berusia 13 tahun antara 369 individu yang ditahan polis Perak kerana disyaki menjadi penagih dan pengedar dadah.

Mereka ditahan di 11 lokasi berbeza dalam Op Sarang Khas Bersepadu polis Perak selama tiga hari bermula Ahad.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata ketika serbuan, siasatan awal mendapati remaja berkenaan disyaki penagih dadah selain tidak bersekolah.

Katanya kesemua tangkapan tersebut membabitkan individu berumur sehingga 60 tahun selain terdiri daripada 364 lelaki serta lima perempuan, termasuk 30 warga asing.

“Hasil daripada tangkapan tersebut itu juga, seramai 47 orang telah ditahan di bawah kesalahan pengedaran dadah, 140 orang bagi kesalahan memiliki dadah dan 181 orang penagih dadah. 

“Daripada jumlah penagih dadah yang ditahan, seramai 142 orang penagih telah disiasat di bawah Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Manakala 39 orang lagi penagih disiasat di bawah Seksyen 3 (1) Akta Penagih Dadah 1983 oleh pihak Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Perak,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Mior Faridalathrash turut memberitahu dalam tangkapan sama seorang lelaki telah ditahan di bawah Akta Langkah-langkah Pencegahan Khas (LLPK) 1985 serta 11 individu yang tersenarai dalam kategori orang yang dikehendaki.

“Nilai rampasan dadah dianggarkan berjumlah RM33,809.70 dengan pecahan 649.2 gram heroin, 81.5 gram syabu, 51.3 gram ganja, lapan biji pil Erimin 5, 3.3 gram ecstasy, 3 liter air ketum dan 9 kilogram daun ketum. Turut disita beberapa kenderaan dan wang tunai yang bernilai RM13,600,” katanya lagi.

Ujar Mior Faridalathrash Op Sarang Khas Bersepadu Perak atau Program Jihad Dadah berkenaan membabitkan 400 anggota dan pegawai daripada Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik dan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Daerah Kontinjen Perak serta 30 anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA).

Menurutnya, kejayaan tersebut adalah hasil kerjasama antara masyarakat dengan pihak polis selain menambah polis Perak akan terus memperhebatkan lagi operasi pembanterasan aktiviti penagihan, penyeludupan dan pengedaran dadah.