Remaja acu pisau terhadap pemandu e-hailing dibebas dengan jaminan polis

Adie Sufian Zulkefli
November 29, 2023 05:20 MYT
Polis telah selesai merekod keterangan suspek yang berusia 13 tahun bagi melengkapkan siasatan. - Gambar fail/ Astro AWANI
SUNGAI PETANI: Remaja lelaki berusia 13 tahun yang direman pada Selasa kerana mengacu pisau di dada pemandu kenderaan e-hailing di tepi jalan di Taman Keladi, di sini, dibebaskan dengan jaminan polis hari ini.
Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Zaidy Che Hassan, berkata polis telah selesai merekod keterangan suspek bagi melengkapkan siasatan.
"Dia telah dibebaskan dengan jaminan polis. Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 393 Kanun Keseksaan," katanya ringkas.
BACA: Remaja lelaki acu pisau cuba samun pemandu e-hailing
Pada Selasa Astro AWANI melaporkan, seorang pemandu e-hailing berdepan saat cemas diacu sebilah pisau oleh seorang remaja lelaki dalam kejadian di Taman Keladi, pada Isnin.
Pemandu itu bagaimanapun terselamat setelah menggigit tangan remaja tersebut, menyebabkan suspek bertindak melarikan diri.
Mangsa membuat laporan polis sekitar jam 8 malam Isnin dan remaja berkenaan ditahan dua jam kemudian.
#video tular #cuba tikam #pemandu e-hailing #remaja lelaki