KUANTAN: Seorang remaja lelaki berumur 19 tahun dikhuatiri lemas selepas hilang dihanyutkan ombak ketika mandi bersama dua lagi rakannya, di Pantai Teluk Chempedak, di sini, hari ini.

Dalam kejadian kira-kira jam 3 petang itu, dua rakan mangsa terselamat.

Pegawai Perhubungan Awam Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Zulfadli Zakaria berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 3.04 petang.

Menurutnya, sepasukan enam anggota serta seorang pegawai bersama jentera bergegas ke lokasi kejadian dan memulakan operasi mencari dan menyelamat (SAR).

"Namun mangsa masih belum dijumpai setakat ini.

“Komander operasi telah memohon bantuan Unit Pasukan Penyelamat di Air (PPDA) Kuantan dan pasukan telah diarahkan ke lokasi kejadian,” ujarnya.