KULIM: Kegembiraan lima sahabat mandi di air terjun Junjung, sempena cuti Maulidur Rasul bertukar tragedi apabila seorang daripada mereka mati lemas.

Dalam kejadian kira-kira jam 10.30 pagi itu kesemua remaja berusia 18 tahun itu bertindak terjun ke bahagian air dalam sebelum secara tiba-tiba dua daripada mereka terkapai-kapai lemas.

Salah seorang dari mangsa sempat diselamatkan oleh rakan mereka dengan menariknya ke tebing manakala seorang lagi gagal diselamatkan sebelum tenggelam ke dasar sungai.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, Pusat Gerakan Operasi (PGO) JBPM Kedah menerima panggilan kecemasan dari pemanggil yang memaklumkan terdapat seorang mangsa lelaki hilang dipercayai lemas pada jam 10.54 pagi tadi.

Beliau berkata, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kulim dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba di lokasi, didapati terdapat seorang mangsa lelaki di dalam keadaan tidak sedarkan diri yang diselamatkan oleh orang awam yang berada di lokasi kejadian.

"Tindakan operasi yang dilakukan adalah dengan melakukan bantuan pernafasan (CPR) kepada mangsa terbabit.

"Bagaimanapun, sebaik pegawai perubatan KKM tiba di lokasi dan membuat pemeriksaan kemudian mendapati mangsa sudah meninggal dunia," katanya.

Mangsa dikenali sebagai Iman Zulhakim And Rahim, 18 tahun.

Mohamadul Ehsan berkata, mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya.