KEMAMAN: Seorang remaja kurang upaya (OKU) lembam ditemui lemas selepas hilang ketika mandi di Sungai Pengkalan Cicar, Bukit Kuang, Chukai, di sini, hari ini.

Mayat Muhammad Ariff Danial Anuar, 13, yang juga pelajar Kelas Pendidikan Khas Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Kuang ditemui kira-kira jam 5.28 petang.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, siasatan awal mendapati, mangsa yang tinggal di Rumah Murah 2, Bukit Kuang mandi bersama tiga rakan dan adiknya di kawasan kira-kira 600 meter dari rumahnya, jam 1 tengah hari.

"Bagaimanapun, mangsa dikatakan lemas ketika mandi kira-kira 1.30 tengah hari, sebelum keluarga membuat panggilan kecemasan pada jam 3.20 petang.

"Kira-kira dua jam selepas operasi mencari dan menyelamat (SAR) dijalankan, mayat mangsa ditemukan di dasar sungai pada kedalaman kira-kira tiga meter," katanya ketika ditemui pemberita di lokasi kejadian hari ini.