KUALA NERANG: Seorang remaja perempuan berusia 19 tahun maut selepas terperosok di bawah kereta dalam kemalangan di Jalan Sungai Tiang, Kampung Tandop, di sini hari ini.

Penolong Pengarah Bahagian Operasi Kebombaan dan Penyelamat, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah, Penguasa Kanan Bomba I Mohamadul Ehsan Mohd Zain berkata, pihaknya menerima laporan kejadian pada jam 5.12 petang.

“Sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerang dikejarkan ke lokasi kejadian.

"Sebaik tiba di lokasi, (bomba) mendapati mangsa terperosok di bawah kereta Toyota Vios manakala motosikal Yamaha LC yang ditunggangi mangsa melekat pada bahagian hadapan kereta.

"Anggota terpaksa menggunakan alat pengangkat kenderaan (jack kereta hydraulic) bagi mengeluarkan mangsa," katanya ketika dihubungi Astro AWANI.

Mohamadul Ehsan berkata, mangsa disahkan meninggal dunia oleh pihak Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Padang Terap, Deputi Superintendan Mulkiaman Manzar, mengesahkan kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

Beliau turut memaklumkan, remaja tersebut merupakan penuntut Universiti Teknologi Mara (UiTM) Merbok.

Katanya mangsa menunggang motosikal berseorangan datang dari arah Naka ingin pulang ke rumahnya di Taman Pelangi, Kuala Nerang kira-kira jam 5.12 petang.

“Ketika kejadian hujan lebat dan air bertakung mengakibatkan mangsa gagal mengawal motosikal lalu memasuki laluan bertentangan.

“Kereta Toyota Vios dipandu seorang guru berusia 30-an datang dari arah bertentangan tidak sempat membrek lalu berlanggar sehingga mangsa terperosok di bawah kereta,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Mangsa maut di tempat kejadian selepas mengalami kecederaan parah di kepala dan badan sementara pemandu kereta tidak mengalami kecederaan.

Mayat mangsa di hantar ke Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) Alor Setar untuk bedah siasat.

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.