Gara-gara hendak mengelak daripada dikenakan denda oleh Jabatan Pendaftaran akibat kehilangan kad pengenalan, seorang remaja sanggup membuat laporan palsu kepada pihak polis dengan mengatakan dirinya disamun.

Begitupun, muslihat itu tidak berjaya dan dia berdepan hukuman penjara dan denda lebih berat kerana membuat laporan palsu kepada pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Lelaki berusia 19 tahun itu ditahan polis sewaktu dibawa ke sebuah restoran di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, pada Jumaat, iaitu lokasi yang kononnya dikatakan berlaku kes samun tersebut membabitkan sekumpulan lelaki.

Menurut Ketua Polis Daerah Dang Wangi, ACP Mohd Sukri Kaman, suspek menipu bagi mengelak daripada didenda kerana kehilangan kad pengenalan.

“Remaja itu mendakwa disamun oleh tujuh hingga lapan lelaki ketika di lokasi berkenaan. Bagaimanapun keterangan remaja berkenaan meragukan ketika disoal siasat.

“Apabila dibawa semula ke lokasi itu bagi menceritakan semula kejadian samun, dia akhirnya mengaku membuat laporan palsu bagi mengelak dikenakan denda kehilangan kad pengenalan,” katanya dalam kenyataan.

Kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 182 Kanun Keseksaan kerana membuat laporan palsu yang membawa kepada hukuman enam bulan penjara atau denda RM2,000 atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.