JOHOR BAHRU: Polis menahan seorang lelaki dan merampas 201 kilogram (kg) daun ketum dalam dua serbuan di sekitar bandar raya ini, pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan ACP Raub Selamat berkata pihaknya telah menjalankan satu serbuan dan menahan lelaki berusia 19 tahun itu di Kampung Melayu Majidee kira-kira 12.30 tengah hari.

Beliau berkata dalam serbuan itu pihaknya telah merampas satu tong plastik yang mengandungi 18 bungkus plastik lut sinar berisi cecair yang disyaki air ketum seberat sembilan liter.

"Seterusnya, dengan dipandu arah oleh lelaki terbabit, satu lagi serbuan telah dibuat di kawasan Taman Istimewa dengan merampas tujuh bungkusan plastik hitam yang mengandungi 201 kilogram daun ketum," katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Katanya keputusan ujian saringan air kencing suspek adalah negatif dan dia juga tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.

Raub berkata keseluruhan rampasan dianggarkan bernilai RM2,190 dan kes disiasat mengikut Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

-- BERNAMA