KOTA BHARU: Tempoh reman tiga individu termasuk suami kepada wanita yang dilarikan sekumpulan lelaki pada Selasa lalu disambung tiga hari lagi di Mahkamah Majistret Tumpat pada Sabtu.

Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun berkata, tempoh reman terhadap lelaki berusia 36 tahun dan dua lagi individu berusia 35 serta 47 tahun itu disambung bagi membantu siasatan.

“Tempoh reman mereka termasuk seorang wanita itu dilanjutkan sehingga Selasa depan.

“Reman dibuat mengikut Seksyen 117 Kanun Prosedur Jenayah dan siasatan masih diteruskan,” katanya ketika dihubungi pemberita pada Sabtu.

Beliau berkata, tidak ada tangkapan baharu dibuat setakat ini dan pihaknya masih berusaha menjejaki mangsa culik terbabit.

Tiga individu termasuk suami mangsa ditahan semasa hadir ke Ibu Pejabat Polis Daerah Tumpat pada Selasa lalu dan direman selama lima hari yang berakhir pada Sabtu.

Sebelum ini media melaporkan, seorang wanita yang juga ejen jualan kosmetik, Rosnazirah Mohd Naim, 36, dilarikan sekumpulan lelaki menggunakan sebuah kereta jenis Toyota Vios di hadapan rumah di Kampung Semat Jal, Wakaf Bharu, Tumpat.

Mangsa dipercayai dilarikan ke negara jiran dengan menggunakan bot melalui pangkalan haram di kawasan Kuala Jambu, Tumpat.

Siasatan awal polis mempercayai suami mangsa terbabit dengan kegiatan penyeludupan dadah. -Sinar Harian