Rentas Negeri: Guru dikompaun RM5,000 beri alasan mahu ambil buku di Kuala Terengganu

Fareez Azman
Mei 9, 2021 09:55 MYT
Pemeriksaan ketat di sekatan jalan raya di Plaza Tol Bentong, Pahang bagi memastikan individu mempunyai kebenaran polis sahaja dibenarkan rentas negeri. - Gambar Astro AWANI
Bentong: Ketika pergerakan rentas negeri dilarang terutamanya menjelang 10 Mei sehingga 6 Jun depan, masih ada individu yang ingkar arahan ditetapkan.
Natijahnya, pihak berkuasa terpaksa mengeluarkan kompaun kerana kedegilan itu.
Tinjauan Astro AWANI di Plaza Tol Gombak menghala ke Kuantan mendapati bilangan kenderaan bertambah ketika waktu puncak.
RM5,000 nilai kompaun rentas negeri tanpa kebenaran
Selepas Plaza Tol Gombak, kami ke Plaza Tol Bentong, Pahang juga untuk melakukan tinjauan yang sama.
Tidak sampai 30 minit, sebuah bas ditahan pihak polis dan pemeriksaan dijalankan terhadap setiap penumpang, sebelum dua penumpang lelaki diminta turun.
Pemeriksaan terhadap surat majikan yang disertakan mereka mendapati tiada cop kebenaran polis disertakan.
Astro AWANI mendekati dua lelaki tersebut yang masing-masing berusia 22 dan 26 tahun.
Seorang daripadanya berkata, tujuan polis meminta dia dan rakannya itu turun dari bas ekspres yang dinaiki itu ialah untuk pemeriksaan surat kebenaran polis.
"Saya dari Nilai, naik bas dari Seremban nak balik ke Terengganu, surat kebenaran kami gunakan surat majikan.
"Sebab sekolah sudah tutup, saya sekolah swasta bila tutup, majikan suruh balik ke tempat masing-masing. Surat kebenaran sudah ditunjukkan, pihak polis minta tolong tunjukkan untuk pengesahan itu sahaja," katanya.
Sementara rakannya juga memberikan alasan yang sama, surat majikan yang disertakan tidak memerlukan cop kebenaran polis.
Kali ini, alasannya pulang ke Kuala Terengganu untuk mengambil buku rujukan yang tertinggal di kampung halaman.
"Saya dari Seremban nak balik Terengganu, surat itu memang majikan bagi, bukan untuk pulang tapi urusan pekerjaan.
"Maknanya, barang (buku rujukan) dekat rumah, saya ada barang saya sendiri. Saya seorang cikgu, jadi lepas raya akan buat peperiksaan, jadi perlu buku rujukan. Buku itu ada di rumah (Kuala Terengganu)," katanya lagi.
Kedua-dua mereka dikenakan kompaun RM5,000 kerana didapati tiada kebenaran untuk merentas negeri.
Reda dengan tindakan kompaun yang dikenakan, dua sahabat itu terpaksa pulang semula ke Nilai dengan bantuan kawan mereka.
Pemeriksaan ketat
Sepanjang tinjauan Astro AWANI juga mendapati, pemeriksaan ketat dilakukan pihak berkuasa terhadap pemandu dan penumpang kenderaan.
Setiap individu yang ingin merentas negeri juga akan diperiksa surat kebenaran satu persatu bagi memastikan alasan mereka kukuh atas urusan yang dibenarkan.
Bahkan, dalam tinjauan itu juga, kelihatan beberapa kenderaan diarahkan berpatah balik kerana tidak disertakan alasan yang kukuh selain tiada kebenaran polis untuk merentas negeri.
Meskipun cuaca terik, namun setiap anggota dilihat tegas dengan arahan dikeluarkan.
Dakwa tidak perlu cop polis
Selain kes dua sahabat yang diceritakan di atas, Astro AWANI juga berkesempatan mewawancara seorang lagi penumpang yang turut tidak bernasib baik dan diarahkan turun dari kenderaan yang dinaiki.
Sudahlah hasrat untuk merentas negeri tidak kesampaian, tambah menyedihkan, dia terpaksa pula menghadap surat kompaun yang dikeluarkan polis.
Dalam wajah yang duka, wanita itu sedang duduk merenung nasib di bawah khemah sekatan jalan raya (SJR).
Semasa menemubualnya, dia mengakui tidak dibenarkan merentas negeri menaiki bas ekspres apabila melalui SJR.
Wanita berkenaan yang juga seorang guru di sebuah sekolah agama mendakwa, dia telah berkunjung ke balai polis berhampiran kediamannya di Selangor, dan dimaklumkan bahawa tidak memerlukan sebarang cop kebenaran kerana mempunyai surat majikan.
"Saya dapat surat kebenaran daripada sekolah, bila pergi balai polis, mereka cakap boleh lepas tanpa cop balai.
"Dia cakap boleh lepas dengan gunakan surat sekolah tanpa cop polis, jadi saya pun balik beli tiket (bas), dah naik bas sampai di Tol Bentong ini, kena tahan kena turun bas.
"Polis yang buat pemeriksaan cakap tak lepas, sebab tiada cop polis. Di balai sana lepas, di sini tak lepas pula sebab tiada cop polis," dakwanya.
Menunggu hampir satu jam, akhirnya wanita itu pulang semula ke Shah Alam dengan bantuan bapa saudaranya.
Sebelum ini, Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengumumkan semua aktiviti rentas negeri dan daerah tanpa kebenaran pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) di seluruh negara adalah tidak dibenarkan mulai 10 Mei sehingga 6 Jun depan.
Bagaimanapun, menurut Ismail Sabri, mereka yang perlu merentas daerah atas faktor kerja, tidak memerlukan permit atau kebenaran PDRM, sebaliknya, memadai dengan mengemukakan surat pengesahan syarikat.
Beliau berkata, selain itu terdapat beberapa aktiviti lain yang tidak dibenarkan dalam tempoh tersebut dalam usaha kerajaan mengawal penularan COVID-19 di seluruh negara.
#PDRM #ismail sabri yaakob #Astro Awani #tol #Pahang #shah alam #Kuantan #Kuala Terengganu #Seremban #nilai #Polis Diraja Malaysia #pergerakan rentas negeri #lelaki #peperiksaan #menteri #wanita #sekolah #kerajaan #bas #guru #COVID-19 #rentas negeri #Degil