KUALA LUMPUR: Kebenaran rentas negeri bermula Isnin menjadi khabar paling gembira buat Keluarga Malaysia setelah sekian lama menanti untuk pulang ke kampung berjumpa insan tersayang dan membawa keluarga bercuti.

Rata-rata masyarakat memberikan reaksi positif dengan berita gembira yang diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Ahad.

Seorang guru di sekolah menengah swasta di ibu negara Mohammad Fakkrudin, 24, bersyukur dengan pengumuman berkenaan dan menyifatkannya sebagai peluang yang baik untuk mengeratkan lagi hubungan kekeluargaan di kampung setelah sekian lama tidak bertemu.

"Saya tidak sabar hendak balik ke kampung di Kedah ...rindu sangat pada umi dan ayah saya. Ini adalah waktu yang sesuai kerana kita sudah mencapai imuniti kelompok namun kita tidak boleh alpa dengan kelonggaran diberikan.

"SOP (prosedur operasi standard) harus diutamakan," katanya kepada Bernama.

Di SELANGOR, pekerja swasta NurHabibah Abdul Halim, 26, yang menetap di Setia Alam, Shah Alam berkata dia yang sudah hampir 10 bulan tidak pulang ke kampung tidak sabar untuk berjumpa keluarganya dan berasa lega kerana kesemua ahli keluarganya sudah lengkap menerima vaksin COVID-19 sejak Ogos lepas.

"Perasaan teruja dan takut sama banyak, tetapi memikirkan rindu pada ibu bapa dan adik-adik di kampung halaman dan kami semua telah divaksin, timbul rasa gembira sebab sekian lama asyik bertanya khabar melalui panggilan video semata-mata," katanya.

Seorang lagi pekerja swasta, Norazwani Abdul Razak, 26, berkata dia hanya menunggu masa pengumuman kebenaran untuk balik ke kampung halaman di Machang, Kelantan selepas kali terakhir pulang pada April lepas.

"Sudah semestinya saya mahu jumpa ibu bapa saya terlebih dahulu sebab tiap tahun tidak pernah beraya di perantauan, tapi tahun ini beraya di perantauan," katanya.

Pengarah Kesihatan Negeri Selangor Datuk Dr Sha'ari Ngadiman pula menasihati orang ramai mengekalkan disiplin diri dengan menjaga SOP bagi memastikan tidak berlaku jangkitan COVID-19.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) negeri Hafisham Mohd Noor pula menasihati masyarakat yang ingin pulang ke kampung halaman memastikan kediaman dalam keadaan selamat sebelum memulakan perjalanan.

Di MELAKA, suri rumah, Siti Hajar Mohtar, 28, yang tinggal di Durian Tunggal, Alor Gajah berkata dia sangat gembira dengan pengumuman Perdana Menteri berhubung kebenaran merentas negeri dan tidak sabar untuk pulang ke kampungnya di Jeli, Kelantan.

"Sudah lebih setahun saya tidak pulang ke kampung kerana mengikuti suami yang berpindah ke Melaka sejak September tahun lepas, malah saya terpaksa merayakan Aidilfitri dan Aidiladha di perantauan pada tahun ini," katanya.

Presiden Persatuan Hotel Bajet Malaysia (MyBHA) Melaka Sazali Sabri berkata pengusaha hotel di negeri berkenaan telah bersedia sepenuhnya untuk menerima kehadiran pengunjung yang dijangka melonjak minggu hadapan susulan pengumuman kerajaan mengenai kebenaran rentas negeri mulai esok.

"Namun paling penting kita perlu memastikan SOP dijaga kerana kita tidak mahu berlaku peningkatan kes menyebabkan kebenaran ini ditarik semula dan jika keadaan ini berlaku sudah pasti akan membebankan semua pemain industri yang baharu menarik nafas lega," katanya dan menambah kesemua 176 hotel bajet di bawah persatuan itu telah melakukan persiapan awal termasuk vaksinasi pekerja sejak Ogos lepas.

Di PERAK, seorang kakitangan kerajaan Nur Amera Syazwana Rosli juga tidak sabar untuk pulang ke kampung halamannya di Alor Setar, Kedah untuk bertemu ibu bapa dan adik beradiknya selepas sekian lama tidak berjumpa.

"Sebak tapi dalam masa sama gembira sebab akhirnya kami dapat bersatu semua satu keluarga. InsyaAllah saya akan balik kampung minggu depan," katanya.

Ketua Polis Perak Datuk Mior Faridalatrash Wahid berkata pihaknya akan memberi tumpuan kepada penugasan berkaitan pemantauan SOP termasuk di kawasan tumpuan orang ramai.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi pula berkata kerajaan negeri menyambut baik keputusan berkenaan dan sektor pelancongan negeri menurutnya telah bersedia menerima pelancong domestik.

Di KELANTAN, Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan Masyarakat, Kebudayaan, Warisan dan Pelancongan negeri Mejar (B) Datuk Md Anizam Ab Rahman berkata dengan pengumuman itu, kerajaan negeri menjangkakan 300,000 pengunjung akan memasuki negeri berkenaan hingga hujung bulan ini.

Di NEGERI SEMBILAN, Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Mohamad Mat Yusop berkata polis akan memantau kelancaran trafik susulan aktiviti rentas negeri dan berharap masyarakat terus mematuhi SOP.

Di PULAU PINANG, Pengerusi Persatuan Tarikan Pelancongan Pulau Pinang (ATAP) Ch'ng Huck Theng menyifatkan langkah kerajaan membenarkan aktiviti rentas negeri merancakkan kembali aktiviti pelancongan di negeri berkenaan.

"Majoriti daripada 60 pusat tarikan pelancongan di bawah seliaan persatuan ini sudah membuat persediaan sejak beberapa bulan yang lepas," katanya.

Di PAHANG, Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar, Perladangan dan Komoditi negeri Datuk Seri Mohd Sharkar Shamsudin menyeru orang ramai untuk membantu industri pelancongan domestik atas semangat Keluarga Malaysia.

Beliau turut mengingatkan pengusaha pelancongan dan orang ramai untuk sama-sama mematuhi SOP supaya 'kebebasan' yang diberikan tidak menyebabkan peningkatan kes positif COVID-19.

Di JOHOR, Presiden Majlis Pemandu-Pemandu Pelancong Malaysia (MTGC) Jimmy Leong Wie Kong berkata pengumuman rentas negeri amat dinantikan pemain sektor pelancongan sekali gus membantu menggalakkan pertumbuhan ekonomi.

Pekerja swasta Nur Shafatin Mohd Nor, 25, berkata beliau dan suami tidak sabar untuk melancong memandangkan tidak dapat berbuat demikian selepas mendirikan rumahtangga dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Di KEDAH, Menteri Besar Muhammad Sanusi Md Nor berkata kebenaran rentas negeri akan merancakkan lagi aktiviti pelancongan di Langkawi sekali gus sasaran untuk mencapai 400,000 pelancong ke pulau itu di bawah gelembung pelancongan hingga Disember diyakini akan tercapai di samping dapat memberikan banyak manfaat kepada pemain industri serta ekonomi penduduk setempat.

-- BERNAMA