KUALA LUMPUR: Penguatkuasaan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada oleh Majlis Keselamatan Negara masih berterusan biarpun selepas aktiviti rentas negeri dibenarkan kelak, kata Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin.

Dalam sidang media khas hari ini, beliau berkata, adalah sesuatu yang mustahil untuk melakukan sekatan jalan raya semata-mata bagi menghalang pergerakan mereka yang enggan menerima vaksin.

Dengan penguatkuasaan SOP itu, kata Khairy, golongan yang enggan menerima vaksin tidak dapat menikmati beberapa kebebasan tertentu seperti memasuki restoran atau premis yang mewajibkan vaksinasi lengkap dua dos.

“Itu (antara) cara yang kita boleh kuatkuasakan SOP sedia ada. Kita tak mahu terlalu banyak SOP dalam hal rentas negeri, kerana ramai sudah tunggu. Takkan nak kata dapatkan permit polis dahulu?

“Kita sudah sampai (hampir) 90 peratus (vaksinasi lengkap) dari kalangan penduduk dewasa, jadi sekarang ini adalah kawalan kendiri sahaja. Kawalan kendiri dan pemerkasaan individu dan pemerkasaan komuniti,” katanya lagi.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada Rabu menyarankan orang ramai yang mahu melakukan pergerakan rentas negeri nanti supaya mengambil langkah berjaga-jaga dengan mengamalkan SOP sedia ada.

Beliau berkata, orang ramai sewajarnya menjalani ujian saringan COVID-19 secara kendiri menggunakan air liur dengan kerap bagi menjaga keselamatan individu tersayang, khususnya jika mahu pulang ke kampung halaman.

Namun, dalam masa sama, beberapa pihak menzahirkan kebimbangan tentang kemungkinan penularan COVID-19 yang mungkin berlaku sekiranya aktiviti merentas negeri dibenarkan kepada semua pihak, termasuk mereka yang sengaja tidak mengambil vaksin.

Mengulas lanjut, Khairy memberi jaminan bahawa sekiranya golongan yang enggan menerima vaksin itu, atau lebih dikenali sebagai “anti-vaks”, cuba memasuki premis, mereka boleh dikenakan kompaun.

“Saya minta pihak polis terus menjalankan Ops Patuh untuk kuatkuasakan SOP. Polis akan terus ke kedai makan secara rawak dan periksa, sama ada pelanggan itu vaksin atau tidak. Kalau tidak divaksinasi, kompaun akan dikenakan kepada pelanggan itu dan restoran atau pemilik premis.

“Itu cara kita akan buat pematuhan atau penguatkuasaan SOP sedia ada. Ramai tanya saya apa SOP rentas negeri? Nak rentas negeri, balik kampung jumpa ibu bapa tak ada SOP yang spesifik. Make sure you are sensible,” katanya lagi.