KUALA LUMPUR: Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan tetap menggerakkan pasukan-pasukan pemantauan prosedur operasi standard (SOP) walaupun sekatan jalan raya (SJR) di sempadan negeri ditutup mulai tengah malam ini.

Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani turut menegaskan bahawa SJR di kawasan dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD), SJR Op Benteng dan SJR Cegah Jenayah/Keselamatan akan dikekalkan.

"Pemeriksaan-pemeriksaan ini akan dijalankan oleh pihak berkuasa secara rawak di lokasi-lokasi tumpuan umum, berdasarkan peruntukan di bawah Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342)," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Justeru beliau menasihati masyarakat untuk tidak mengambil lewa terhadap kelonggaran pergerakan yang diberikan.

Pada masa sama, beliau berharap masyarakat sentiasa mengamalkan tahap pematuhan SOP yang tinggi demi mengelakkan penularan wabak COVID-19 kembali meningkat.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob hari ini yang membenarkan aktiviti rentas negeri bagi golongan lengkap divaksin bermula 11 Oktober.


Kebenaran rentas negeri hanya untuk individu lengkap 2 dos vaksin