MARANG: Repositori Kelulut Indo-Malaya Universiti Malaysia Terengganu (UMT) yang menempatkan lebih 20 spesies kelulut unik dan jarang ditemui, dijangka mampu menjadi tarikan ekopelancongan baharu negeri ini.

Ketua Kumpulan Penyelidik Lebah dan Kelulut (SIG) UMT, Prof Shamsul Bahri Abd Razak berkata repositori yang terletak di kawasan seluas 0.4 hektar di Kampus Kedua UMT Bukit Kor di sini, dibangunkan April tahun lepas dengan kos RM100,000.

Beliau berkata matlamat asal penubuhan repositori itu ialah sebagai bank genetik atau pusat pengumpulan pelbagai spesies kelulut untuk tujuan rujukan serta penyelidikan para pengkaji dari serata negara.

"Antara spesies kelulut yang terdapat di sini ialah Heterotrigona erythrogastra, Tetrigona apicalis, Homotrigona aliceae, Tetrogona binghami, Sundatrigona moorei dan Tetrogona peninsularis yang tidak terdapat di tempat lain.

"Usaha mengumpulkan spesies kelulut ini bukan mudah dan mengambil masa serta tenaga kerana perlu mencari di pelosok tempat terutama bagi spesies yang jarang ditemui," katanya kepada Bernama di Repositori Kelulut Indo-Malaya di Bukit Kor di sini.

Shamsul Bahri berkata Repositori Kelulut Indo-Malaya UMT di Bukit Kor itu juga dibangunkan bagi menggantikan repositori asal di Taman Pertanian Negeri Sekayu, Hulu Terengganu yang musnah akibat banjir besar pada 2021.

Menurut beliau kemusnahan tersebut menyebabkan kerugian besar bukan sahaja kepada universiti, malah para penyelidik dan sektor ekopelancongan negeri.

"Repositori asal di Taman Pertanian Sekayu adalah yang pertama di Malaysia dan ia menjadi pusat pengumpulan spesies kelulut terbesar dunia.

"SIG mengambil masa berpuluh tahun untuk mengumpulkan koleksi tersebut melalui aktiviti kembara kelulut ke serata dunia. Amat sedih apabila ia musnah dalam sekelip mata," katanya.

Katanya pihaknya kini dalam usaha mendapatkan dana bagi memajukan Repositori Kelulut Indo-Malaya Bukit Kor sebagai destinasi ekopelancongan negeri.

Antara perancangan yang dirangka termasuk penubuhan pusat maklumat dan penggunaan teknologi Internet benda (IOT) bagi tujuan pemantauan serta penyebaran maklumat kepada pengunjung.

"Selain itu gerai jualan cenderamata serta pelbagai produk berasaskan madu kelulut juga boleh diwujudkan untuk menjana hasil ekonomi.

"Kawasan Kampus Kedua UMT Bukit Kor ini sangat luas. Sayang sekali jika tidak dimajukan kerana mempunyai potensi besar bagi sektor ekopelancongan. Selain repositori kelulut, terdapat juga kawasan pertanian di sini yang boleh dilawati pelancong," katanya yang mengalu-alukan kerjasama daripada pihak swasta dan kerajaan.

Dalam pada itu, Shamsul Bahri berkata pihaknya juga sedang memohon bagi mendapatkan pengiktirafan sebagai repositori pertama di dunia yang mengumpulkan spesies kelulut Indo-Malaya terbanyak di satu lokasi daripada Malaysian Book Of Records (MBOR).

-- BERNAMA