GUA MUSANG: Minat mendalam dalam bidang bakeri mendorong seorang guru pendidikan khas menjana pendapatan sampingan setiap kali menjelang Hari Raya Aidilfitri.

Walaupun turut menghidap kanser tahap dua, bagi Nor Liyana Abdullah, 38 tahun, ia bukan halangan untuk meneruskan minatnya.

Guru subjek kemahiran vokasional spesifik di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Indra Petra di Gua Musang akui sanggup bersengkang mata menyiapkan tempahan pelanggan.

JENDELA RAMADAN AL-MUBARAK

Katanya dia perlu bijak membahagikan masa antara tugas hakiki mengajar dan pekerjaan sampingan menghasilkan biskut.

"Saya bahagikan masa pada waktu pagi daripada jam 7 pagi sehingga jam 2 petang saya berada di sekolah. Sebaik sahaja saya pulang dari sekolah saya mula berada di dapur sehingga jam 12.30 tengah malam dan bergantung kepada tempahan. Selebihnya saya rehatlah untuk kembali bekerja.

"Untuk tempahan Hari Raya ini biasa saya membuka tempahan lima jenis iaitu biskut coklat cip, biskut Nilam Sari, biskut tart nanas, biskut sugi dan biskut jering dan biskut yang paling laris biskut coklat cip dan Nilam Sari yang sentiasa mendapat permintaan daripada pelanggan," katanya.

Nor Liyana Abdullah terima tempahan sekitar 50,000 biji biskut atau 1,000 balang biskut pelbagai jenis.

Dia turut menggunakan platform media sosial miliknya seperti Facebook dan aplikasi WhatsApp untuk tempahan biskut Hari Raya.