KUALA LUMPUR : Sejumlah 10 peratus kadar migrasi transaksi RFID dicatatkan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) selepas ia dilaksanakan pada 15 Januari 2022 di seluruh Lebuhraya Utara-Selatan pada hujung minggu lalu.

Jesteru itu, PLUS menerima pelbagai maklum balas dan pandangan berhubung kesesakan yang timbul di plaza tol, dan telah mengambil beberapa pendekatan dan penambahbaikan untuk menyelesaikan isu berkenaan.

Dalam satu kenyataan pada Selasa, PLUS memaklumkan ia termasuk menggandakan pasukan untuk membantu pelanggan di plaza tol, serta meningkatkan keterlihatan papan tanda arah untuk meningkatkan pengenalan lorong RFID.

Jelasnya, bagi pelanggan lebuh raya yang mengalami masalah pengesanan di lorong RFID, kakitangan tol akan menggunakan peranti mudah alih untuk mengimbas tag RFID.

Namun sekiranya tag masih tidak dapat dikesan, kupon untuk diagnostik pengesanan penuh di pusat fitmen Touch ‘n Go yang terdekat akan disediakan.

Jika tag RFID masih mempunyai isu pengesanan selepas ujian, Touch ‘n Go akan menggantikan tag RFID secara percuma.

PLUS berharap dengan peningkatan penghijrahan pembayaran tol menerusi RFID, ia akan membawa pengalaman perjalanan yang lebih lancar sejajar dengan gaya hidup digital pembayaran tanpa sentuh hari ini dan e-Dompet.

Jelasnya, pelanggan lebuh raya dialu-alukan untuk memberikan maklum balas melalui talian PLUSLine
1800-88-0000 dan chatbot PLUS, P.U.T.R.I melalui Aplikasi PLUS.