KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan bersempena Hari Keputeraan Rasmi Baginda di Istana Negara pada Sabtu.

Mengetuai senarai ialah bekas Ketua Hakim Negara, Tun Richard Malanjum dan bekas Pengerusi Felda, Tan Sri Raja Muhammad Alias Raja Muhammad Ali dianugerahkan Darjah Kebesaran Seri Setia Mahkota (SSM) yang membawa gelaran ‘Tun’.

Seramai 1,207 individu menerima Darjah Kebesaran, Bintang dan Pingat Persekutuan untuk 2021 manakala beberapa individu merupakan penerima bagi 2020 dengan 44 daripadanya menerima anugerah berkenaan pada Sabtu.

Menyusuli Richard dan Raja Muhammad Alias ialah Ketua Polis Negara, Datuk Seri Acryl Sani Abdullah Sani dan Ketua Menteri Sarawak, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg yang dikurniakan Panglima Mangku Negara, membawa gelaran ‘Tan Sri’.

Seramai 19 individu menerima Darjah Panglima Setia Mahkota (PSM) yang turut membawa gelaran ‘Tan Sri’ iaitu Hakim Besar Sabah dan Sarawak Datuk Abang Iskandar Abang Hashim; Yang Dipertua Dewan Rakyat Datuk Azhar Azizan Harun; Ketua Setiausaha Kementerian Luar Negeri Datuk Seri Muhammad Shahrul Ikram Yaakob; Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Datuk Seri Azam Baki dan Presiden Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) Datuk Dr Mohd Daud Bakar.

Turut dianugerahi PSM ialah Ahli Lembaga Pengarah Institut Integriti Malaysia Datuk Dr Ismail Ibrahim; bekas Pengerusi Universiti Teknologi Mara (UiTM) Tan Sri Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir; pakar astronomi dan profesional astrofizik Datuk Prof Emeritus Dr Mazlan Othman; Pengarah Eksekutif Leong Hup International Berhad Datuk Lau Eng Guang; Ahli Lembaga Pengarah Khazanah Nasional Berhad Datuk Mohammed Azlan Hashim dan Pengerusi Eksekutif The Edge Media Datuk Tong Kooi Ong.

Penerima PSM lain ialah Pengerusi Ikhlas Capital Datuk Seri Mohamed Nazir Tun Razak; Pengerusi Eksekutif LB Aluminium Berhad Datuk Leow Chong Howa; Pengarah Eksekutif Perfect Group Holdings Limited Datuk Tan Jyh Yaong; bekas Pengerusi Tetap Parti Pribumi Bersatu Malaysia Datuk Seri Mohd Shariff Omar; bekas Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai; Pengerusi Tetap Parti Pesaka Bumiputera Bersatu Sarawak Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar, Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang dan Gabenor Bank Negara Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus. 

Seramai 18 individu menerima Darjah Panglima Jasa Negara (PJN) dan dua penerima Darjah Panglima Setia Diraja (PSD), masing-masing membawa gelaran Datuk.

Antara penerima PJN ialah Hakim Mahkamah Rayuan Datuk E.S.M Nantha Balan; Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Syarikat Malaysia Nor Azimah Abdul Aziz; Dekan Fakulti Kemanusiaan, Pengurusan dan Sains, Universiti Putra Malaysia Kampus Bintulu Prof Dr Jayum Anak Jawan; bekas pemain badminton kebangsaan Datuk Misbun Sidek dan Ketua Pegawai Eksekutif Celcom Axiata Berhad Mohamad Idham Nawawi.

Penerima PSD pula antaranya ialah Setiausaha Bahagian, Bahagian Sumber Manusia Jabatan Perdana Menteri Shahrul Kamal Osman dan bekas Asisten Ketua Staf Perkhidmatan Anggota, Angkatan Tentera Malaysia Lt Jen (B) Datuk Azlan Abdul Rahman.

Dalam pada itu, 33 individu dikurniakan Johan Mangku Negara (JMN) antaranya Ketua Badan Pimpinan Bersatu Sarawak Senator Jaziri Alkaf Abdillah Suffian; Ahli Parlimen Kuala Krai Abdul Latiff Abdul Rahman dan Ketua Pemuda PAS Pusat Senator Khairil Nizam Khirudin.

Seramai 61 individu dikurniakan Johan Setia Mahkota (JSM); tiga penerima Johan Setia Diraja (JSD); 205 penerima Kesatria Mangku Negara (KMN); tujuh penerima Kesatria Setia Diraja (KSD); 303 penerima Ahli Mangku Negara (AMN); 514 penerima Pingat Pangkuan Negara (PPN); 38 penerima Bentara Setia Diraja (BSD) dan dua penerima Pingat Gagah Berani (PGB).

Antara penerima JSM ialah Pengarah Bahagian Keselamatan SPRM Mohammad Soib Abdullah; Ketua Pengarah Jabatan Pendidikan Politeknik dan Kolej Komuniti Zainab Ahmad dan bekas pemain tenpin boling kebangsaan Shalin Zulkifli.