KUALA LUMPUR: Ringgit memulakan urus niaga minggu ini agak lemah berbanding dolar AS berikutan pelanjutan Perintah Kawalan Pergerakan 3.0 (PKP 3.0).

Pada jam 9.03 pagi, unit tempatan itu menyusut kepada 4.1130/1150 berbanding dolar AS daripada 4.1070/1100 ketika ditutup pada urus niaga petang Jumaat minggu lepas.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Jumaat minggu lepas mengumumkan PKP 3.0, yang pada asalnya akan berakhir hari ini, telah dilanjutkan untuk tempoh dua minggu lagi sehingga 28 Jun berikutan jumlah harian kes COVID-19 yang tinggi.

Ahli ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd Adam Mohamed Rahim berkata pelanjutan pelaksanaan sekatan pergerakan mungkin akan memberikan tekanan ke atas ringgit hari ini.

Beliau menambah pada hujung minggu jumlah dos vaksinasi harian menurun kepada 138,804 suntikan pada 12 Jun berbanding paras tertinggi 157,949 jab pada 10 Jun.

"Sekiranya jumlah purata dos vaksinasi yang diberikan setiap hari di negara ini melepasi 150,000 suntikan dalam beberapa hari mendatang, ini akan dapat membantu menyokong ringgit," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, Kenanga Research menjangkakan unit tempatan boleh meningkat lebih tinggi berbanding dolar AS minggu ini kerana dasar Rizab Persekutuan AS diunjurkan terus dilonggarkan pada mesyuarat dua hari Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC) yang akan berakhir pada 16 Jun.

"Namun, data pengeluaran dan penjualan perindustrian AS yang lebih kukuh daripada jangkaan berpotensi mendorong hasil Perbendaharaan AS lebih tinggi, sekali gus boleh menyebabkan ringgit diniagakan rendah berbanding dolar AS," katanya dalam satu nota hari ini.

Secara teknikal, firma penyelidikan itu berkata pergerakan unit dolar AS-ringgit mungkin menguji halangan menaik pada 4.122 dan berpotensi mencecah tahap rintangan kedua pada 4.135 sekiranya terdapat kejutan keputusan Persekutuan AS semasa mesyuarat FOMC itu.

Pada pembukaan, ringgit disebut harga tinggi berbanding mata wang utama yang lain.

Ia meningkat kepada 3.1002/1019 berbanding dolar Singapura daripada 3.1034/1059 Jumaat lepas dan mengukuh kepada 3.7456/7477 berbanding yen daripada 3.7500/7531 sebelumnya.

Berbanding euro, ringgit lebih tinggi kepada 4.9763/9787 daripada 4.9908/9945 sementara berbanding pound, ia lebih kukuh kepada 5.8018/8046 daripada 5.8094/8140 sebelumnya.

-- BERNAMA