Ringgit dijangka meneruskan penurunannya apabila Kementerian Kesihatan menjangkakan situasi COVID-19 semakin memburuk pada minggu ini dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) memberi tekanan kepada ekonomi, kata Kenanga Research.

Bagaimanapun, jangkaan penurunan dolar AS kemungkinan akan menyediakan sedikit sokongan kepada ringgit, kata firma penyelidikan itu dalam satu nota hari ini.

"Momentum kenaikan dolar AS semakin lemah, menyaksikan ringgit melantun semula naik sedikit sebanyak 0.64 peratus berbanding dolar AS minggu ini daripada paras penutup 4.395 pada Jumaat minggu lepas.

"Kami melihat paras sokongan segera pada 4.330, walaupun melepasi paras di bawah 4.266 boleh menjadi penggerak kepada ringgit," kata Kenanga Research.

Pada 9.02 pagi, ringgit turun kepada 4.4180/4250 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.3947/4012 pada Jumaat minggu lepas apabila para pelabur mengambil pendekatan tunggu dan lihat di tengah-tengah penularan pantas pandemik COVID-19. - BERNAMA