KUALA LUMPUR: Ringgit kembali ditutup rendah hari ini berbanding dolar AS selepas kenaikan minggu lepas berikutan aktiviti pengambilan untung, kata seorang peniaga.

Pada 6 petang, unit tempatan terus susut kepada 4.5060/5130 berbanding dolar AS daripada paras penutup 4.4795/4890 pada Jumaat minggu lepas.

Pengarah Urusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata ringgit kembali menyusut hari ini apabila kes COVID-19 terus melonjak di China, yang memberi kesan kepada pembukaan semula ekonomi serta membawa kepada prospek lebih lemah.

"Terdapat spekulasi bantahan yang berlaku baru-baru ini akan mempercepat pembukaan semula sebaik sahaja kes COVID-19 mereda dan ini sepatutnya memberikan prospek positif kepada ringgit," katanya kepada Bernama.

Sementara itu, ringgit diniagakan kebanyakannya rendah berbanding kumpulan mata wang utama lain.

Unit tempatan turun berbanding dolar Singapura kepada 3.2804/2860 daripada 3.2573/2645 pada Jumaat minggu lepas, susut berbanding euro kepada 4.6705/6777 daripada 4.6551/6650 dan berkurangan berbanding yen Jepun kepada 3.2614/2677 daripada 3.2118/2188. Bagaimanapun ringgit meningkat berbanding pound Britain kepada 5.4004/4088 daripada 5.4094/4209.

Pasaran ditutup pada Isnin sempena cuti peristiwa yang diumumkan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada minggu lepas.

-- BERNAMA