JEMPOL: Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) memperuntukkan sebanyak RM508 juta pada tahun ini bagi membantu meningkatkan pendapatan lebih 300,000 pekebun kecil yang aktif di seluruh negara.

Pengerusi RISDA Datuk Seri Mohd Salim Mohd Sharif berkata daripada jumlah itu, RM127 juta telah digunakan bagi program utama RISDA iaitu Program Pembangunan Kawasan Bertanam Getah iaitu RM99.2 juta, Program Peningkatan Produktiviti (RM19.9 juta) dan Program Pembangunan Semula Hasil Baharu (RM7.9 juta).

"Keadaan cuaca yang tidak menentu selain produktiviti dan harga komoditi getah yang rendah merupakan antara cabaran pekebun kecil untuk terus menikmati kemakmuran menerusi bantuan yang disediakan RISDA.

"Menerusi prestasi pembangunan semasa, RISDA juga sentiasa proaktif dalam memastikan penyampaian perkhidmatan yang berkesan kepada pekebun kecil di luar bandar melalui program bekalan baja, benih, pembinaan prasarana dan modal insan di kawasan pekebun kecil," katanya kepada pemberita ketika menghadiri Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri, di sini, pada Jumaat.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Jempol berkata pekebun kecil disarankan untuk hadir ke pejabat RISDA yang berhampiran bagi mendapatkan khidmat nasihat berkaitan program dan bantuan yang ditawarkan.

Selain itu, Mohd Salim berkata RISDA turut membantu pekebun kecil yang ingin menjalankan perniagaan dengan bantuan berbentuk barangan termasuk ketuhar, inkubator dan benih tanaman menerusi program ekonomi tambahan.

Dalam pada itu, beliau berkata RISDA bersedia menangani masalah sekuriti makanan negara melalui pelbagai inisiatif termasuk membangunkan kilang ternakan makanan di Durian Mas, Terengganu dengan menggalakkan penanaman jagung untuk ternakan selain meningkatkan pengeluaran daging lembu halal menerusi RISDA Livestock Sdn Bhd.

Beliau berkata usaha itu sekali gus dapat mengurangkan kebergantungan negara kepada import bekalan makanan selain meningkatkan pendapatan pekebun kecil.

-- BERNAMA