KUALA LUMPUR: Pasukan pembelaan Syed Saddiq Syed Abdul Rahman memberitahu Mahkamah Tinggi di sini pada Isnin bahawa RM1 juta yang dikeluarkan daripada akaun Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) merupakan bantuan untuk COVID-19, Ramadan, sumbangan hari raya dan kebajikan lain.

Peguam, Gobind Singh Deo yang mewakili Ahli Parlimen Muar itu berkata demikian ketika prosiding hujahan di akhir kes pembelaan, di hadapan Hakim, Datuk Azhar Abdul Hamid.

“Apabila RM1 juta dikeluarkan pada 6 Mac 2020, terdapat sejumlah RM1.8 juta tersedia dalam akaun itu antara lain memenuhi tujuan dan objektif penubuhan parti.

“Ketika itu, negara dilanda penularan wabak COVID-19 bermula Januari 2020 diikuti Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan pada 18 Mac 2020 sekali gus mengundang kesulitan kepada rakyat,” katanya.

Oleh itu beliau berkata, Syed Saddiq selaku bekas Ketua Armada Bersatu manakala saksi pendakwaan ke-13, Rafiq Hakim Razali sebagai bekas Penolong Bendahari parti itu, hanya bertindak demi kepentingan sayap parti dan tanggungjawab mengikut perlembagaannya.

Walaupun mahkamah memutuskan ada kes prima facie terhadap anak guamnya, beliau berkata, Seksyen 182A Kanun Tatacara Jenayah (CPC) memberi mandat supaya pembuktian oleh pendakwaan dinilai semula susulan pembelaan yang dibuat.

“Erti kata lain, menjadi tanggungjawab mahkamah untuk meneliti bukti secara menyeluruh untuk menentukan sama ada terdapat keraguan munasabah yang membawa kepada pembebasan Syed Saddiq atas semua pertuduhan atau sebaliknya,” katanya.

Mahkamah menetapkan Selasa untuk prosiding hujahan oleh pihak pendakwaan.

Mengikut pertuduhan pertama, Syed Saddiq didakwa bersubahat dengan Rafiq Hakim Razali iaitu Penolong Bendahari Armada Bersatu yang diamanahkan dengan dana berjumlah RM1 juta, melakukan pecah amanah dengan menyalahgunakan dana itu.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di CIMB Bank Berhad, Menara CIMB KL Sentral, Jalan Sentral 2 di sini, pada 6 Mac 2020 mengikut Seksyen 406 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman maksimum penjara 10 tahun, sebat dan dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Bagi pertuduhan kedua, tertuduh didakwa menyalahgunakan harta untuk diri sendiri iaitu wang RM120,000 daripada akaun Maybank Islamic Berhad milik Armada Bumi Bersatu Enterprise dengan menyebabkan Rafiq melupuskan wang terbabit.

Syed Saddiq didakwa melakukan perbuatan itu di Malayan Banking Berhad, Jalan Pandan 3/6A, Taman Pandan Jaya di sini, antara 8 hingga 21 April 2018 mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum lima tahun, sebat dan denda.

Beliau juga berdepan dua pertuduhan membabitkan diri dalam aktiviti pengubahan wang haram iaitu memindahkan wang masing-masing RM50,000 dalam akaun Maybank Islamic Berhad miliknya ke akaun Amanah Saham Bumiputera miliknya, yang merupakan hasil daripada aktiviti haram.

Syed Saddiq dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah bank di Jalan Persisiran Perling, Taman Perling, Johor Bahru pada 16 dan 19 Jun 2018 didakwa mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 4(1) akta sama.

Jika sabit kesalahan, Syed Saddiq berdepan hukuman maksimum penjara 15 tahun dan denda lima kali ganda jumlah atau hasil aktiviti haram. -- Sinar Harian