YAN: Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) memberi peruntukan sebanyak RM1.1 juta untuk membaik pulih 34 hektar kawasan sawah padi di Kampung Titi Bakong dan Kampung Rendang Pasir, Yan, yang musnah dalam kejadian banjir lumpur akibat fenomena kepala air dari Puncak Gunung Jerai pada 18 Ogos lalu.

Ketua Setiausaha Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Haslina Abdul Hamid berkata, peruntukan tersebut merupakan sebahagian daripada keseluruhan peruntukan berjumlah RM75 juta yang diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika meninjau lokasi bencana tersebut pada Selasa lalu.

“Peruntukan berjumlah RM495,000 akan digunakan bagi membaiki kerosakan infrastruktur termasuk jalan ladang, tali air konkrit, membaiki paip bekalan pengairan, mencuci dan menyenggara pam guna semula.

“Manakala RM555,000 pula untuk kegunaan membaikpulih sawah yang melibatkan kerja-kerja mengeluarkan enapan di dalam bendang, pitaran tanah sawah, perataan tanah dan pemulihan kesuburan tanah.

“Selain itu, peruntukan sebanyak RM50,000 akan digunakan untuk bantuan pembatalan musim tanaman 2/2021 di bawah Skim Pengairan Lubok Boi dengan keluasan 15 hektar,” katanya ketika meninjau kawasan sawah dan rumah penduduk yang terjejas akibat tragedi tersebut di Yan, hari ini.

Menurut beliau, peruntukan itu bagi memastikan nasib warga tani di kawasan pertanian tersebut akan terus mendapat pembelaan dari pihak kementerian.

Katanya, Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA), mengenalpasti kesemua tanaman padi yang terjejas berusia antara 75 hingga 100 hari dan ditenggelami air sedalam 1.2 meter.

Jelas Haslina, MAFI dengan kerjasama jabatan dan agensi khususnya MADA, Jabatan Pertanian, Jabatan Perkhidmatan Veterinar, Jabatan Perikanan dan Lembaga Pertubuhan Peladang juga sedang menggerakkan segala jentera dalam usaha untuk memulihkan dan memperbaiki kerosakan yang berlaku termasuk sistem pengairan yang terjejas.

“Laporan keseluruhan kerosakan bencana khususnya sektor tanaman lain selain padi, termasuk ternakan dan perikanan dalam daerah Yan dan Kuala Muda dianggarkan bernilai RM286,000,” jelasnya.

Nilai kerosakan ini meliputi sektor tanaman dan industri tani dengan anggaran kerosakan sebanyak RM222,000, manakala sektor lain seperti ternakan haiwan dan ikan pula membabitkan nilai kerugian sebanyak RM64,000.