KUALA LUMPUR: Sebanyak RM11.2 bilion Wang Tak Dituntut (WTD) direkodkan di Jabatan Akauntan Negara setakat 30 April lalu.

Timbalan Menteri Kewangan, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, daripada jumlah tersebut, dianggarkan 70 peratus adalah wang dalam akaun bank yang tidak aktif dalam tempoh tujuh tahun atau lebih.

Memberitahu Dewan Rakyat lagi, beliau berkata, WTD turut meliputi wang yang tidak dibayar seperti gaji, bonus atau dividen dalam tempoh setahun atau lebih; serta wang dalam akaun perdagangan antara pembekal dan syarikat yang melebihi tempoh dua tahun.

"Kita telah mengembalikan sebanyak RM3.3 bilion sehingga 23 Mei (semalam) kepada rakyat yang menuntut.

"Apa yang kita lakukan daripada WTD ini ialah sebanyak RM10 bilion, kita masukkan dalam simpanan tetap dan daripada simpanan tetap itu, kita dapat RM250 juta setahun sejak 10 tahun lalu.

"Wang sebanyak RM250 juta itu kita kembalikan semula dan wang disatukan digunakan untuk pembangunan dan bantuan rakyat," katanya di Dewan Rakyat pada Rabu.

Ahmad (BN-Pontian) menjawab soalan Fong Kui Lun (PH-Bukit Bintang) yang meminta Menteri Kewangan menyatakan jumlah wang tidak dituntut setakat 31 Mac 2023 yang tersimpan dan apakah cadangan untuk memanfaatkan wang tersebut yang terbiar lama untuk pembangunan negara.

Sementara itu, Kui Lun ketika mengajukan soalan tambahan bertanya adakah kerajaan bercadang mewujudkan dana biasiswa pendidikan daripada WTD bagi membantu pelajar-pelajar yang layak dan tidak mempunyai sumber kewangan, selain usaha kerajaan untuk menjejaki pemlik WTD.

Menjawab soalan tersebut, Ahmad berkata, kerajaan boleh mempertimbangkan untuk memberikan biasiswa kepada pelajar yang layak daripada wang berjumlah RM250 juta yang diperoleh hasil daripada simpanan tetap berjumlah RM10 bilion.

"Tetapi setakat ini kita berikan untuk hal-hal secara umum untuk kembalikan duit itu kepada rakyat.

"Kumpulan wang disatukan ini ada tiga, pertama akaun hasil disatukan di mana kita masukkan RM3 bilion daripada WTD.

"Kedua, akaun amanah yang disatukan dan disitu (diletakkan) sebanyak RM7 bilion daripada WTD, manakala RM10 bilion sebagaimana saya maklumkan, ia dimasukkan dalam simpanan tetap.

"(Baki) Sebanyak RM1 bilion lagi untuk pusingan pembayaran," jelas beliau.

Dalam pada itu, Ahmad berkata, pemilik WTD boleh menuntut wang masing-masing melalui
portal eGUMIS.