ISKANDAR PUTERI: Sejumlah RM19 juta telah diluluskan kerajaan Persekutuan bagi meningkatkan keberkesanan sistem ramalan dan amaran banjir di negeri Johor, Dewan Undangan Negeri Johor (DUN) diberitahu, hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Alam Sekitar, Warisan dan Budaya Johor K. Raven Kumar berkata kerajaan negeri dengan kerjasama kerajaan Persekutuan, telah pun mengambil beberapa langkah proaktif sebagai persediaan untuk berhadapan dengan pelbagai perubahan fenomena yang boleh mengakibatkan bencana termasuk banjir.

"Projek (sistem ramalan dan amaran banjir) yang sedang berjalan ini dan dijangka siap pada awal tahun 2024, akan menaik taraf 140 stesen hidrologi dan akan membina stesen hidrologi baharu di 100 lagi lokasi," kata beliau pada sesi penggulungan di persidangan DUN Johor, Bangunan Sultan Ismail, dekat sini, hari ini.

Selain itu, Raven Kumar (BN-Tenggaroh) berkata Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Johor juga, sedang menyiapkan Pelan Induk Saliran Mesra Alam (PISMA) bagi kawasan Tebrau/Plentong di Johor Bahru dan juga Pengerang, Kota Tinggi.

Beliau berkata kesemua pelan induk tersebut akan menjadi rujukan utama pihak berkuasa tempatan (PBT) bagi menaik taraf sistem saliran dalaman.

"Untuk kawasan pertanian Johor Barat di daerah Pontian, Batu Pahat dan Muar, kerajaan negeri juga telah pun menyiapkan laporan akhir yang mana elemen perubahan iklim juga telah diambil kira dalam menyediakan cadangan-cadangan mitigasi banjir, termasuk banjir termenung," katanya.

Raven Kumar berkata bagi memastikan kelancaran operasi ketika musim banjir yang dijangka akan berlaku pada penghujung tahun ini, JPS Johor sentiasa memberikan kerjasama dalam menyediakan data hujan dan aras air sungai bagi kegunaan semua agensi yang berkaitan, sebagai persediaan bagi menghadapi bencana itu.

Beliau berkata jabatan itu juga sentiasa peka dengan memberikan amaran kepada semua Jawatankuasa Pengurusan Bencana peringkat daerah, jika berlaku kejadian hujan lebat dan air pasang besar yang boleh menyebabkan risiko banjir.

-- BERNAMA