RM2 juta untuk kajian awal Pangkor sebagai pulau bebas cukai - Azmin

Bernama
Julai 22, 2019 11:04 MYT
AZMIN: Keseluruhan peruntukan untuk menyediakan infrastruktur di Pulau Pangkor sebagai Pulau Bebas Cukai adalah sebanyak RM486 juta.
Kementerian Hal Ehwal Ekonomi meluluskan peruntukan RM2 juta kepada kerajaan Perak bagi menjalankan kajian awal berhubung infrastruktur di Pulau Pangkor menjelang pengisytiharan pulau itu sebagai Pulau Bebas Cukai (PBC) pada 1 Jan 2020.
Menterinya Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata peruntukan tersebut diluluskan semasa pertemuan beliau dengan Menteri Besar Perak Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu di Ipoh, pada pagi Isnin.
Katanya keseluruhan peruntukan untuk menyediakan infrastruktur di Pulau Pangkor sebagai Pulau Bebas Cukai adalah sebanyak RM486 juta.
"Kita setuju untuk kerajaan negeri memulakan kajian awal dan daripada kajian itu ita dapat meneliti apakah infrastruktur yang diperlukan di pulau itu," katanya kepada pemberita selepas majlis Silaturahmi Bersama Warga Felcra Seberang Perak di sini, hari ini.
Menteri Kewangan Lim Guan Eng ketika membentangkan Bajet 2019 di Dewan Rakyat pada November lepas mengumumkan Pulau Pangkor akan dijadikan sebagai pulau bebas cukai.
Selain itu, Mohamed Azmin berkata Perak mempunyai banyak industri yang perlu diperkembangkan antaranya automotif dan pelancongan bagi menarik lebih ramai pelabur datang ke negeri itu.
"Kita juga mahu ada kemudahan hubungan untuk menarik pelaburan besar seperti jaringan lebuh raya, internet... dapat ditingkatkan," katanya.
-- BERNAMA
#Ahmad Faizal Azumu #infrastruktur pulau pangkor #kajian awal #Mohamed Azmin Ali #Perak #peruntukan RM2 juta #pulau bebas cukai