RM20,000 sekiranya atlet SUKIPT berjaya pecah rekod kebangsaan - PM

Astro Awani
Ogos 14, 2022 15:12 MYT
Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bergambar selepas merasmian Sukan Institusi Pendidikan Tinggi (SUKIPT) 2022 di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) malam ini. - Foto BERNAMA
TANJUNG MALIM: Atlet-atlet yang bertanding dalam acara Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2022 dijanjikan ganjaran berjumlah RM20,000 sekiranya berjaya mencatatkan rekod kebangsaan.
Perkara itu diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika berucap merasmikan SUKIPT 2022 di Arena Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI).
Dalam ucapannya juga Perdana Menteri turut menekankan sukan bukan hanya untuk sihat semata-mata, sebaliknya ia mengajar masyarakat tentang disipilin, semangat berpasukan, strategi, membuat keputusan, dan sebagainya.
"Malah, sukan juga mampu menyemarakkan semangat patriotisme dan perpaduan dalam Keluarga Malaysia.
"Lihat sahaja ketika ada perlawanan bola sepak atau badminton, lebih-lebih lagi yang di peringkat dunia tanpa mengira kaum dan agama, kita duduk semeja bersama-sama rakan-rakan di restoran untuk bersorak menyokong pasukan negara.
"Hakikatnya, sukan berupaya memberikan auranya yang tersendiri, bukan sahaja dalam kalangan yang bertanding, tetapi juga kepada yang menonton," katanya.
Beliau memberikan contoh kisah jurulatih badminton negara, Hendrawan yang telah memberikan kasutnya kepada pemain Jamaica Samuel Ricketts ketika saingan Sukan Komenwel 2022 baru-baru ini.
"Malah tindakan Siti Shazwana Ajak ketika Sukan SEA Vietnam juga boleh dijadikan contoh apabila pesilat negara itu melindungi dan menutup rambut lawannya yang tercabut tudung.
"Inilah semangat kesukanan yang mengatasi segalanya. Dengan semangat yang tinggi, persaingan tidak menjadi isu. Semangat inilah yang perlu ada dan menjadi salah satu teras dalam Keluarga Malaysia iaitu Keterbukaan," katanya lagi.
Perdana Menteri juga menegaskan kasih sayang, hormat-menghormati dan juga nilai kemanusiaan sesama pasukan yang berlawan merupakan perkara yang lebih besar dalam sebuah pertandingan.
#sukan #Sukan Institusi Pengajian Tinggi #SUKIPT 2022 #Perdana Menteri #ismail sabri yaakob #semangat #disiplin