PUTRAJAYA: Kerajaan memperuntukkan RM25 juta bagi pelaksanaan program Transformasi Pasar Malam kelolaan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Beliau berkata, peruntukan itu akan disalurkan secara berperingkat kepada 50 tapak pasar malam di seluruh negara, mulai tahun depan.

Jelas Perdana Menteri lagi, program Transformasi Pasar Malam itu, mengetengahkan pelbagai elemen norma baharu yang mementingkan komponen kesihatan dan keselamatan, seperti penugasan ‘marshal pasar malam’ bagi meningkatkan kembali keyakinan rakyat.

“Dalam keadaan ekonomi domestik kembali rancak termasuk yang diusahakan oleh rakyat kumpulan penjaja dan peniaga kecil, kita harus juga beri perhatian bahawa suasana kini telah berubah.

“Untuk itu, semua pihak khususnya pihak berkuasa tempatan (PBT) serta kerajaan negeri diharap dapat mengadaptasi pendekatan Transformasi Pasar Malam ini di seluruh negara. 

"Ini kerana pasar malam merupakan satu medan kepada rakyat mendapatkan keperluan harian dengan mengurangkan peranan orang tengah,” katanya lagi.

Dalam majlis yang sama, Perdana Menteri turut mengumumkan peruntukan RM48.52 juta ringgit lagi untuk program pembiayaan mikro bagi penjaja dan peniaga kecil.

Melalui pembiayaan itu, Ismail Sabri berkata, Keluarga Malaysia dalam kalangan penjaja dan peniaga kecil boleh memohon pembiayaan secara syariah dengan kadar keuntungan kosong peratus daripada Bank Rakyat, bagi menambah baik dan membangunkan semula perniagaan sedia ada.

Pembiayaan yang dimohon, katanya lagi, boleh digunakan bagi tujuan pemulihan perniagaan seperti modal pusingan, pembelian peralatan atau perkakasan, bayaran gaji, bayaran sewa, bil utiliti dan lain-lain.

"Tiada sebarang kadar keuntungan dikenakan ke atas penerima biaya sebaliknya hanya kos pengurusan akan dikenakan sebanyak satu peratus atas kutipan yang diterima. 

“Nilai pembiayaan adalah antara RM10,000 hingga RM50,000 dengan tempoh bayaran balik hingga lima tahun. Jadi saya menyeru kepada Keluarga Malaysia untuk mengambil peluang yang ditawarkan ini bagi kelangsungan perniagaan masing-masing,” katanya lagi.