KUALA LUMPUR: Malaysia mengimport kurma bernilai RM48.1 juta dalam tempoh satu bulan sahaja iaitu pada Februari 2022.

Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) memaklumkan, Pulau Pinang mencatatkan import tertinggi kurma bernilai RM20.3 juta (42.2 peratus) diikuti Selangor dengan RM15.0 juta (31.1 peratus) dan Kuala Lumpur dengan RM6.9 juta (14.4 peratus).

"Malaysia telah mula mengimport kurma beberapa bulan sebelum Ramadan bagi memenuhi keperluan ketika bulan puasa.

"Pulau Pinang, Selangor dan Kuala Lumpur kekal sebagai pengimport utama kurma sejak Februari 2021," memetik kenyataan DOSM dalam Laporan Statistik Eksport Import Mengikut Negeri Februari 2022.

Dalam pada itu, Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Mohd Uzir Mahidin berkata, jumlah dagangan Malaysia pada Februari 2022 adalah bernilai RM184.8 bilion meningkat 17.5 peratus tahun ke tahun.

Ia selepas nilai eksport dan import menunjukkan peningkatan iaitu dengan nilai eksport RM102.3 bilion (meningkat 16.8 peratus tahun ke tahun) dan import bernilai RM82.5 bilion (meningkat 18.4 peratus tahun ke tahun).

"Peningkatan import dicatatkan di Pulau Pinang (+RM3.1 bilion), Selangor (+RM2.7 bilion), Johor (+RM1.7 bilion), Kedah (+RM1.5 bilion), Sarawak (+RM1.2 bilion), Kuala Lumpur (+RM972.5 juta), Pahang (+RM806.6 juta), Terengganu (+RM578.3 juta), Negeri Sembilan (+RM449.2 juta), Sabah (+RM273.5 juta) dan Perlis (+RM18.2 juta).

"Bagaimanapun, import menurun di  Melaka (-RM563.5 juta), Perak (-RM452.4 juta), Kelantan (-RM57.0 juta) dan Labuan (-RM5.6 juta)," katanya dalam kenyataan tersebut.

Beralih kepada prestasi eksport mengikut negeri, Mohd Uzir memaklumkan eksport pada bulan Februari 2022 meningkat sebanyak RM14.7 bilion (+16.8 peratus) berbanding bulan yang sama tahun sebelumnya.

"Eksport lebih tinggi direkodkan bagi kebanyakan negeri iaitu Pulau Pinang (+RM5.7 bilion), Sarawak (+RM3.0 bilion), Kedah (+RM2.2 bilion), Labuan (+RM1.6 bilion), Selangor (+RM1.5 bilion), Sabah (+RM1.2 bilion), Johor (+RM1.1 bilion), Kuala Lumpur (+RM1.0 bilion), Pahang (+RM103.8 juta) dan Perlis (+RM23.9 juta).

"Bagaimanapun, eksport menyusut di Melaka (-RM1.2 bilion), Perak (-RM1.1 bilion), Terengganu (-RM320.2 juta), Kelantan (-RM199.5 juta) dan Negeri Sembilan (-RM31.7 juta)," katanya.