RM50 juta untuk laksana program basmi kemiskinan di Terengganu

Bernama
November 2, 2023 23:30 MYT
Penerima rumah, Ha’ameran Md Razali, serta isteri dan anak-anak bergambar bersama rumah yang diterima pada Majlis Penyerahan Rumah Program Inspirasiku MyHAUS YaPEIM di Kampung Kubur Timah, Kuala Nerus, 2 Nov 2023. --fotoBERNAMA
KUALA NERUS: Kerajaan melalui Unit Penyelarasan Pelaksanaan Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) menyediakan peruntukan sebanyak RM50 juta bagi program pembasmian kemiskinan di Terengganu tahun ini.
Ketua Pengarah ICU JPM Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata ia termasuk projek baik pulih dan pembinaan rumah baharu, menaik taraf infrastruktur kecil dan membaiki jalan.
Beliau berkata peruntukan besar itu selaras dengan hasrat Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk menoktahkan masalah kemiskinan dialami rakyat di negara ini.
"Di Terengganu, kita akan bekerjasama dengan pelbagai agensi dan kerajaan negeri untuk laksanakan projek dan program (membasmi kemiskinan).
"Setakat ini, kita dah senaraikan pelbagai projek yang meliputi peruntukan RM21 juta. Semua (projek) dah ada tajuk, dah ada dalam komitmen...cuma tunggu nak berjalan," katanya pada majlis penyerahan Rumah Inspirasiku MyHaus Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) di Kampung Kubur Timah, Batu Rakit di sini semalam.
Projek Rumah Inspirasiku MyHaus dibina menerusi kerjasama antara YaPEIM dan ICU JPM bagi membantu golongan miskin tegar memiliki kediaman sendiri.
Menurut Wan Ahmad Dahlan melalui kerjasama itu, sejumlah RM695,000 telah diperuntukkan bagi projek membaik pulih lima rumah dan pembinaan lapan rumah baharu di Terengganu.
"Tiga rumah baharu dan empat rumah yang dibaik pulih telah siap untuk diserahkan kepada pemilik dalam masa terdekat. Baki projek dijadualkan siap sebelum akhir tahun ini," katanya.
-- BERNAMA
#ICU JPM #basmi kemiskinan di Terengganu #MYHaus #peruntukan