RM500,000 diperuntukkan selenggara Sekolah Kebangsaan Magandai

Assim Hassan
September 6, 2020 11:12 MYT
Dr Radzi Jidin (tiga dari kiri) beramah mesra dengan para pendidik di Majlis Kupi-Kupi di SK Pekan Nabawan, Nabawan pada Ahad. - Gambar Astro AWANI
Kementerian Pendidikan telah memperuntukkan RM500,000 bagi bantuan penyelenggaraan dan perkara-perkara berkaitan Sekolah Kebangsaan Magandai, Kota Marudu yang disifatkan daif.
Menurut menterinya, Dr Radzi Jidin, keadaan sekolah itu dan sekolah-sekolah daif di Sabah menjadi penekanan kementerian dalam memastikan para murid dapat belajar dalam suasana kondusif.
"Mengenai infrastruktur di sekolah Magandai itu, kita telah memperuntukkan RM500,000 untuk membantu menyelenggara sekolah tersebut dalam perkara-perkara berkaitan.
"Dalam soal pendidikan atas talian ini masih banyak ruang-ruang yang perlu diperbaiki dan diteliti. Malah, kementerian mahu melihat isu berkaitan digitalisasi secara holistik," katanya selepas Majlis Kupi-Kupi bersama Menteri Pendidikan di SK Pekan Nabawan, di sini pada Ahad.
Sebelum ini, Astro AWANI melaporkan mengenai kedaifan SK Magandai selain sesi pengajaran dan pembelajaran secara dalam talian sukar dilaksanakan di sekolah tersebut.
Selain itu, mengulas mengenai jaringan internet di sekolah-sekolah di pedalaman, Dr Radzi berkata, pihaknya akan bekerjasama dengan kementerian-kementerian lain dalam memastikan isu jaringan internet di sekolah pedalaman di Sabah dapat dilaksanakan secara menyeluruh.
Kata beliau, kerjasama dan perbincangan itu perlu memandangkan isu jaringan internet bukan tertakluk kepada segmen Kementerian Pendidikan semata-mata.
Sementara itu, dalam lawatannya ke Sabah, Dr Radzi menjelaskan, pelbagai isu dibangkitkan terutama sekali mengenai sekolah daif di negeri tersebut.
Jelasnya, lawatan itu juga dapat memberi gambaran jelas kepada beliau selaku Menteri Pendidikan dan para pegawainya mengenai situasi sebenar sekolah-sekolah di Sabah.
#Dr Radzi Jidin #Kementerian Pendidikan #Kota Marudu #Menteri Pendidikan #Nabawan #Sabah #Sekolah Kebangsaan Magandai