KOTA BHARU: Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) mendedahkan masalah bekalan air yang membelenggu rakyat negeri ini sejak puluhan tahun itu mampu diselesaikan jika mempunyai sumber kewangan berjumlah RM5.03 bilion.

Pengurus Besarnya, Nazmi Ghazali Azmi berkata, jumlah tersebut berpandukan kepada Pelan Induk (2021-2030) yang telah disediakan oleh pihaknya dalam kerangka menyelesaikan masalah tersebut.

"Jumlah itu merangkumi program pengurusan air tidak terhasil (NRW) berjumlah RM1.7 bilion, Pembangunan Takungan Pinggir Sungai (TAPS) RM2.1 bilion, pembinaan Loji Rawatan Air (LRA) mini RM120 juta, pembinaan LRA baharu (RM740 juta), naik taraf LRA sedia ada (RM300 juta) dan pengurusan aset (RM70 juta)," katanya pada Ahad.

Menurutnya, jika kerja-kerja naik taraf LRA sedia ada berjalan lancar ia mampu meningkatkan kapasiti air dari 153 hingga 330 juta liter sehari (JLH) melibatkan 12 LRA yang telah sedia ada ketika ini.

Beliau memberitahu, pembinaan LRA baharu dilihat bakal menjadi salah satu jalan penyelesaian kepada masalah bekalan air di Kelantan.

"Pembinaan LRA baharu ini merangkumi LRA mini yang berkapasiti bawah 10 JLH dan LRA berkapasiti sederhana kurang daripada 100 JLH.

"LRA mini melibatkan 16 lokasi dengan pengeluaran sebanyak 55 JLH, LRA baharu di 11 lokasi (251 JLH) dan lima LRA sudah beroperasi sejak 2021 melibatkan pengeluaran 61 JLH," katanya.

Tambah beliau, ketika ini sungai menjadi sumber bekalan air mentah di Kelantan apabila menyumbang sebanyak 47 peratus, diikuti tapisan air sungai (29 peratus) dan air tanah (24 peratus).

Ujarnya, jika projek TAPS siap ia bakal menjadi sumber bekalan air mentah baharu untuk negeri ini selain Empangan Neggiri dan Lebir di Gua Musang.

Dalam pada itu, Nazmi Ghazali berkata, masalah bekalan air terawat yang berlaku sekarang ini di Kelantan adalah berpunca daripada beberapa perkara iaitu kuantiti tidak cukup, tekanan rendah, kuantiti rendah dan agihan tidak cekap.

Dalam perkembangan lain beliau berkata, AKSB dalam proses menggantikan paip lama melibatkan jarak sejauh 4,006 kilometer (km) di seluruh negeri.

"Ia melibatkan Kota Bharu Utara (193.3 km), Kota Bharu Selatan (420.5 km), Kota Bharu Timur (482.2 km), Machang (328.1 km), Pasir Puteh (420.8 km), Gua Musang (187.9 km), Tanah Merah (365.3 km), Tumpat (333 km), Pasir Mas (672.3 km), Bachok (220.9 km), Jeli (163.9 km) dan Kuala Krai (217.8 km)," katanya. - Sinar Harian