RMK-12: Taraf hidup lebih baik rakyat Malaysia dalam lima tahun seterusnya

Firdaus Azil
September 27, 2021 03:30 MYT
Pertumbuhan ekonomi mampan membolehkan pengagihan ekonomi secara lebih adil, saksama, serta inklusif. - Gambar fail
KUALA LUMPUR: Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) 2021-2025 mempunyai objektif khusus untuk Malaysia mencapai status negara makmur, inklusif, dan mampan, sejajar dengan Wawasan Kemakmuran Bersama (WKB) 2030, dan Agenda 2030.
Menurut dokumen Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12), yang diterbitkan Unit Perancang Ekonomi (EPU) pada Isnin,, pertumbuhan ekonomi mampan membolehkan pengagihan ekonomi secara lebih adil, saksama, serta inklusif.
Ia sekaligus bertujuan untuk menyediakan taraf hidup yang lebih baik kepada semua rakyat Malaysia, tanpa mengira kumpulan pendapatan, etnik, serta wilayah.
“RMKe-12 merangkumi strategi, dan inisiatif bagi memelihara keselamatan dan kedaulatan negara. Ini adalah penting untuk memastikan pembangunan sosioekonomi yang mampan,” menurut dokumen itu lagi.
Secara keseluruhan, RMKe-12 mempunyai tiga tema utama – iaitu menjana semula ekonomi; memperkukuh keselamatan, kesejahteraan, dan inklusiviti; serta melonjakkan kemampanan.
Tiga teras tersebut disokong oleh empat pemangkin dasar, iaitu - membangunkan bakat masa hadapan; mempercepat penerimagunaan teknologi dan inovasi; menambah baik ketersambungan dan infrastruktur pengangkutan; serta memperkukuh perkhidmatan awam.
Tema 1: Menjana Semula Ekonomi
Menurut dokumen RMKe-12, tema tersebut mempunyai tumpuan untuk mengembalikan semula momentum pertumbuhan sektor ekonomi utama, melonjakkan pertumbuhan industri strategik dan berimpak tinggi, serta perusahaan mikro, kecil, dan sederhana (PMKS).
Ia bertujuan untuk meletakkan kadar pertumbuhan pada trajektori yang mampan, serta mengukuhkan kedudukan Malaysia dalam rantaian bekalan global.
Dalam tempoh lima tahun akan datang, usaha bersepadu akan dilaksanakan untuk mencergaskan semula semua sektor ekonomi, iaitu – perkhidmatan; pembuatan; pertanian; perlombongan dan pengkuarian; serta pembinaan.
Tumpuan akan diberikan kepada lapan industri dan aktiviti strategik, serta berimpak tinggi – elektrik dan elektronik; perkhidmatan global; aeroangkasa; kreatif; pelancongan; halal; pertanian pintar’ dan biojisim.
Tema 2: Memperkukuh Keselamatan, Kesejahteraan, dan Inklusiviti
Dalam usaha memastikan pertahanan dan keselamatan negara, usaha pencegahan jenayah serta rehabilitasi dan kesiapsiagaan menghadapi kecemasan akan dipertingkatkan,.
Selain itu, kebajikan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan penguatkuasa akan ditambah baik.
Penyampaian perkhidmatan penjagaan kesihatan terus menjadi fokus dalam meningkatkan tahap kesihatan rakyat, di samping usaha kesiapsiagaan melawan pelbagai jenis penyakit serta memperluaskan liputan penjagaan kesihatan.
Ia juga menumpukan usaha meningkatkan bekalan rumah mampu milik dan berkualiti, menggalakkan gaya hidup aktif dalam kalangan rakyat dengan ekosistem sukan yang menyeluruh, serta membudayakan perpaduan dalam kepelbagaian.
Tema tersebut juga akan memberi tumpuan kepada usaha menangani kemiskinan, serta merapatkan jurang ketidaksamaan dalam kumpulan berpendapatan rendah, keberhasilan sosioekonomi Bumiputera, serta sosioekonomi Orang Asli.
Pembangunan di Sabah dan Sarawak juga akan terus dipergiat untuk meningkatkan pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat.
Tema 3: Melonjakkan Kemampanan
Menurut dokumen berkenaan, tema tersebut mempunyai tumpuan khusus untuk mempercepat pertumbuhan hijau, meningkatkan kemampanan tenaga, serta mentransformasi sektor air.
“Tempoh lima tahun akan datang bakal menyaksikan peralihan seluruh negara kepada amalan ekonomi, dan gaya hidup lebih mampan, yang menghargai khazanah semula jadi dan kesihatan alam sekitar.
“Peralihan ini akan menangani isu perubahan iklim, amalan penggunaan dan pengeluaran yang tidak mampan, kehilangan biodiversiti, pelaksanaan dasar tidak selaras, dan pengurusan sumber air yang tidak cekap,” menurut dokumen itu lagi.
Dua pemacu perubahan akan dilaksanakan di bawah Tema 3, iaitu menerima guna ekonomi kitaran, dan mmpergiat penerimagunaan pengurusan sumber air bersepadu (IWRM).
Dengan peralihan kepada ekonomi kitaran, ia akan mempertingkat kecekapan dan keberkesanan kos dengan ketara, serta mengurangkan tekanan kepada alam.
Selain itu, ia juga bakal menjadikan ekonomi lebih inovatif dan berdaya saing, serta mewujudkan peluang baharu untuk pertumbuhan hijau.
#RMKe-12 #pertumbuhan ekonomi Malaysia #agenda 2030 #Wawasan Kemakmuran Bersama 2030