KOTA BHARU: Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob berharap rakyat negeri itu akan turut mendapat manfaat daripada peruntukan RM25.8 bilion menerusi Agenda Transformasi Sektor Air 2040, seperti diumumkan dalam Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).

Beliau berkata peruntukan itu akan digunakan kerajaan Persekutuan bagi meningkatkan kecekapan pengurusan air, mengoptimumkan potensi bagi menjana kekayaan, serta mewujudkan peluang pekerjaan sekali gus menjamin bekalan air secara mampan.

"Jika dilihat peruntukan yang diberikan, ia adalah satu nilai yang besar, jadi saya berharap akan ada kepentingan rakyat Kelantan menerusi peruntukan itu," katanya kepada pemberita selepas mempengerusikan Mesyuarat Jawatankuasa Khas Keselamatan Negeri (JKKN) di Kota Darulnaim di sini hari ini.

Sementara itu, Ahmad menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kerana tidak meminggirkan negeri Kelantan di bawah RMK-12.

Katanya, beliau berpuas hati dengan pembentangan RMK-12 di Dewan Rakyat pada 27 Sept dan berterima kasih kepada kerajaan Persekutuan, kerana meletakkan Kelantan antara enam negeri yang akan diberikan keutamaan.

Media sebelum ini melaporkan enam negeri kurang membangun iaitu Kedah, Kelantan, Perlis, Sabah, Sarawak dan Terengganu, akan terus diberi keutamaan dalam agihan peruntukan pembangunan di bawah RMK-12.

-- BERNAMA