LANGKAWI: Kadar baharu Rancangan Makanan Tambahan (RMT) melibatkan murid sekolah rendah di seluruh negara hanya akan diumumkan selepas proses perbincangan membabitkan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) dan Kementerian Kewangan dimuktamadkan.

Menurut Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Radzi Jidin, pihaknya kini sedang berusaha dalam memastikan perkara berkenaan dapat direalisasikan bagi memastikan pengusaha kantin tidak terbeban dengan situasi ekonomi semasa ketika ini.

Ia termasuklah beberapa siri perbincangan secara terperinci bersama Kementerian Kewangan melibatkan isu berkenaan.

"Apabila bercakap berkaitan peruntukan (RMT) ini ianya adalah melibatkan agensi pusat dalam konteks ini (KPM dan Kementerian Kewangan), kita bincang, jelaskan apa yang berlaku, kita tahu cabaran yang dihadapi pengusaha kantin dan kita usahakan dengan Kementerian Kewangan dan apa yang penting untuk kita sama-sama terus berdoa dan berusaha supaya kadar ini dapat ditingkatkan

"Jadi dalam konteks kami boleh mencadangkan untuk berbincang dengan agensi pusat dalam konteks ini Kementerian Kewangan supaya kewangan supaya dapat ditingkatkan, itu kita tunggu tengok kalau ada itu nanti kita maklumkan," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan gimik Majlis Pecah Tanah Projek Pembinaan Sekolah Menengah Kebangsaan Bohor Jaya di Kedawang, Langkawi pada Ahad.

23 Julai lalu, Persatuan Pengusaha Kantin Sekolah Malaysia (PPKSM) menyarankan Kementerian Pendidikan (KPM) untuk menyemak semula dan menaikkan kadar Rancangan Makanan Tambahan (RMT) kepada RM4 dan RM5 bagi murid sekolah rendah di seluruh negara.

Setiausahanya, Siti Normah Md Desa, berkata kenaikan kadar itu wajar seiring kenaikan harga barangan semasa.

Beliau berkata, sudah tiba masanya KPM mengambil cadangan Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, untuk menaikkan kadar RMT itu kerana kali terakhir semak semula kadar RMT adalah sekitar tujuh tahun lalu.