KUALA LUMPUR: Atlet negara menerima lonjakan semangat baharu dengan pembentukan pasukan projek Road to Gold sebagai satu program sokongan dalam usaha meraih pingat emas pertama di Sukan Olimpik.

Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berkata, Road to Gold akan menyediakan rangka kerja jangka panjang dan pendek sebagai persediaan Olimpik Paris 2024 dan Olimpik Los Angeles 2028.

"Program ini meliputi dua Olimpik, di mana kita ada perancangan jangka pendek dan panjang yang turut melibatkan bersama atlet yang pernah mengharumkan nama negara.

"Ini satu gabungan pentadbir bersama atlet dan ini adalah 'top-up committee' untuk program sedia ada," kata Yeoh dalam sidang media pelancaran Road to Gold di Stadium Nasional Bukit Jalil, pada Ahad.

Road to Gold dipengerusikan bersama oleh Yeoh sebagai Menteri Belia dan Sukan bersama Tan Sri Norza Zakaria selaku Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), dengan kehadiran beberapa bekas atlet seperti Datuk Lee Chong Wei, Datuk Mirnawan Nawawi, dan Datuk Nicol David sebagai ahli jawatankuasa.

Berbanding Program Podium sedia ada, Road to Gold akan turut memberi tumpuan kepada aspek sokongan tambahan yang diperlukan mengikut keperluan atlet melalui konsultasi dan tidak terhad kepada aspek latihan fizikal semata-mata.

"Sasaran segera ialah Olimpik Paris 2024. Sebagai bekas atlet kita lebih fokus kepada atlet yang berpotensi untuk mendapat pingat emas pertama.

"Kita akan lihat bagaimana nak pastikan atlet beri yang terbaik semasa di Olimpik.

"Bagi saya, walaupun kita mempunyai sokongan dan bantuan daripada segala aspek tetapi kemahuan atlet sendiri penting.

"Mereka seharusnya hungry for success, dan kami akan lebih melihat dalam aspek bagaimana nak bantu bagi memastikan atlet bermain dengan potensi terbaik mereka," kata bekas kapten hoki kebangsaan, Mirnawan Nawawi.

Malaysia tidak pernah memenangi emas di Sukan Olimpik dengan pencapaian terbaik adalah pada edisi 2016 di Rio de Janeiro, apabila kontinjen negara membawa pulang empat perak dan satu gangsa.

Empat perak disumbangkan Datuk Lee Chong Wei (badminton), Goh V Shem-Tan Wee Kiong (badminton), Chan Peng Soon-Goh Liu Ying (badminton) dan Datuk Pandelela Rinong-Cheong Jun Hoong (terjun), manakala Datuk Azizulhasni Awang meraih gangsa berbasikal trek.