AYER KEROH: Keghairahan empat rakan melakukan jenayah rogol secara berkumpulan di lapangan terbang kecil di Jasin, Ahad lalu membawa padah apabila dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ayer Keroh, hari ini.
 
Kesemua tertuduh, Khairul Asnawi Rusri, 19, dan Muhammad Firdaus Noor Apande, 18, serta dua lagi rakan masing-masing berusia 16 dan 17 tahun bagaimanapun mengaku tidak bersalah sejurus pertuduhan terhadap mereka dibacakan di hadapan Hakim Nariman Badruddin.
 
Mengikut pertuduhan, tertuduh secara bersama didakwa melakukan rogol berkumpulan ke atas seorang remaja perempuan berusia 17 tahun pada pukul 4 pagi di Lapangan Terbang Sungai Rambai Aerodrome dalam daerah Jasin pada 17 Julai lalu.
 

Sabit kesalahan, tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak kurang 10 tahun dan tidak lebih 30 tahun mengikut seksyen 375B Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah seksyen sama.
 
Sementara itu, tertuduh Khairul Asnawi turut didakwa atas satu lagi pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa sama pada waktu, tempat dan tarikh sama.
 
Bagi perbuatan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap kanak-kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh juga dikenakan hukuman sebat.
 
Terdahulu, pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Bahiyah Amir Haidi tidak mencadangkan sebarang jaminan bagi kesalahan rogol, namun memohon jaminan RM20,000 dengan dua penjamin dikenakan bagi kes amang seksual fizikal.
 
Peguam, Chua Yong Yi yang mewakili semua tertuduh bagaimanapun memohon jaminan dibenarkan dengan alasan Khairul Asnawi khususnya, merupakan anak sulung dan perlu membantu keluarga menjaga tiga adiknya, selain bapa hanya bekerja di kilang papan.
 
Selepas mendengar hujahan kedua belah pihak, mahkamah kemudian membenarkan Muhammad Firdaus dan tertuduh berusia 17 tahun dijamin sebanyak RM7,000 setiap seorang, manakala RM5,000 bagi tertuduh berusia 16 tahun.
 
Khairul Asnawi bagaimanapun dikenakan jaminan sebanyak RM14,000 bagi kedua-dua pertuduhan.
 
Nariman turut meletakkan syarat tambahan iaitu kesemua tertuduh dilarang mengganggu mangsa dalam apa jua keadaan sekalipun sehingga kes selesai dan menetapkan tarikh 16 Ogos ini sebagai sebutan semula kes dan serahan dokumen.