AYER KEROH: Padah melarikan seorang pelajar perempuan Tingkatan Satu dari sebuah sekolah di Klang dan bertindak merogolnya, seorang juruteknik dijatuhi hukuman penjara 64 tahun dan lapan sebatan oleh Mahkamah Sesyen Ayer Keroh hari ini.
 
Tertuduh Azali Abu, 40, dijatuhi hukuman itu selepas membuat pengakuan bersalah sejurus lapan pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan hakim Mohd Sabri Ismail.
 
Mengikut empat pertuduhan di bawah Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan, tertuduh yang telah berkahwin dan mempunyai dua anak didapati merogol seorang kanak-kanak berusia 13 tahun tanpa kerelaannya.
 

Bagi kesalahan itu tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan sebat.
 
Tertuduh juga didakwa dengan empat pertuduhan lain atas kesalahan melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa sama dan didakwa mengikut Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 dan boleh dihukum di bawah akta sama.
 
Sabit kesalahan tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan sebat.
 
Kesemua kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di Bachang, dalam daerah Melaka Tengah pada 16 dan 17 Jun 2022 lalu.
 
Mengikut fakta kes, tindakan terkutuk tertuduh dikesan apabila ibu mangsa dihubungi pemandu van sekolah memaklumkan remaja tersebut tidak ditemui selepas tamat waktu persekolahan.
 
Wanita itu kemudian menghubungi rakan anaknya sebelum dimaklumkan remaja itu dilihat menaiki sebuah kereta bersama seorang lelaki.
 
Pada 18 Jun mangsa kemudiannya telah pulang ke rumah dan memberitahu telah dirogol sebanyak empat kali antara pukul 10 malam pada 16 Jun sehingga pukul 10 malam keesokkannya oleh tertuduh.
 
Pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Nazrin Ali Rahim memohon mahkamah mengenakan hukuman berat dengan mengambil kira kesalahan dilakukan adalah serius.
 
Ini kerana tertuduh bertindak melarikan seorang pelajar sekolah dari Klang, Selangor dan dibawa ke tempat asing di Melaka selain faktor tertuduh yang sudah berusia 40 tahun itu sepatutnya membimbing kanak-kanak tersebut, bukan sebaliknya.
 
Mohd Sabri pada penghakimannya kemudian menjatuhkan hukuman penjara selama 10 tahun dan satu sebatan bagi setiap kesalahan merogol dan penjara enam tahun serta satu sebatan bagi setiap pertuduhan amang seksual fizikal.
 
Beliau memerintahkan hukuman di bawah Seksyen 376(2) Kanun Keseksaan itu berjalan secara berasingan, manakala Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 berjalan serentak dari tarikh tarikh ditangkap 25 Jun lalu.
 
Tertuduh tidak diwakili peguam.