PUTRAJAYA: Seorang bekas pemandu lori kekal menjalani hukuman penjara 12 tahun dan dua sebatan kerana merogol anak jirannya, sehingga remaja berumur 13 tahun itu mengandung dan cuba membunuh diri.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan diketuai Datuk Suraya Othman membenarkan rayuan lelaki berusia 60 tahun itu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada 28 Feb 2020, yang menjatuhkan hukuman penjara 25 tahun dan 10 sebatan ke atasnya.

Hakim Suraya yang bersidang bersama-sama Hakim Datuk Wira Ahmad Nasfy Yasin dan Datuk Seri Mariana Yahya, mengembalikan hukuman penjara 12 tahun dan dua sebatan yang dijatuhkan Mahkamah Sesyen Sepang terhadap lelaki itu.

Beliau berkata hakim Mahkamah Tinggi telah tersalah arah dalam menggunakan peruntukan di bawah Kanun Keseksaan ketika menaikkan hukuman penjara 12 tahun dan dua sebatan kepada penjara 25 tahun dan 10 sebatan, selepas membenarkan rayuan pendakwaan.

Hakim Suraya dalam penghakimannya berkata hukuman maksimum bagi kesalahan merogol gadis bawah umur di bawah Seksyen 375(g) Kanun Keseksaan adalah penjara 20 tahun, tetapi hakim Mahkamah Tinggi telah menjatuhkan hukuman penjara 25 tahun.

"Oleh itu, mahkamah mengetepikan hukuman Mahkamah Tinggi dan mengembalikan hukuman yang diputuskan oleh Mahkamah Sesyen bermula dari tarikh tangkap pada 11 Jun 2017," katanya.

Hakim Suraya turut menasihati lelaki itu selaku perayu supaya tidak mengulangi kesalahan sama selepas keluar dari penjara.

"Jangan buat lagi...awak seorang bapa kepada enam anak, kenapa awak mahu merogol remaja bawah umur? Apabila sudah keluar nanti, jalani kehidupan dengan baik," kata hakim itu.

Lelaki itu mengaku bersalah atas pertuduhan merogol seorang remaja perempuan berumur 13 tahun tujuh bulan di sebuah rumah di Puchong, Sepang di sini pada 11 malam, pertengahan bulan Mac dan April 2017, mengikut Seksyen 375(g) Kanun Keseksaan dan boleh dihukum di bawah Seksyen 376(1) kanun sama.

Berdasarkan fakta kes, pada pertengahan Mac 2017, perayu telah membawa mangsa ke rumah perayu, kononnya untuk menyambut hari jadi anak perayu dan apabila tiba di rumah perayu, mangsa mendapati tiada orang di rumah berkenaan.

Perayu kemudian merogol mangsa dan selepas kejadian itu, perayu mengugut akan menularkan gambar kemaluan mangsa di Facebook, sekiranya remaja itu menceritakan apa yang berlaku kepada ibunya.

Remaja itu kemudian telah disahkan hamil dan memberitahu perkara itu kepada ibunya, dan laporan polis dibuat serta mangsa dirujuk kepada pakar psikiatri yang mencadangkan supaya janin mangsa digugurkan selepas mangsa menunjukkan simptom depresi dan cuba membunuh diri.

Hasil ujian asid deoksiribonukleik (DNA) terhadap janin tersebut mendapati bahawa perayu merupakan bapa kandung kepada janin itu.

Peguam Usha Kulasegaran dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) mewakili perayu manakala Timbalan Pendakwa Raya Aida Khairuleen Azli bertindak bagi pihak pendakwaan selaku responden.

-- BERNAMA