Setelah dua minggu menyemak dan meneliti lebih 103,000 keping foto yang diterima daripada 5,666 orang jurugambar dari 124 buah negara, juri World Press Photo yang berpejabat di Amsterdam, Netherlands memilih sekeping yang paling hebat yang diumumkan sebagai foto terbaik.
Ia juga memberi penghargaan kepada 54 keping foto yang dirakamkan oleh jurugambar dari 33 negara, termasuk seorang jurufoto dari Malaysia yang menang Hadiah Utama bagi kategori Sukan. Seorang lagi jurugambar dari Malaysia menang hadiah tempat kedua bagi kategori Potret.
Foto yang terpilih sebagai foto terbaik bagi tahun 2013 itu menggambarkan sekumpulan lelaki di sebatang jalan di Gaza dengan wajah yang penuh kepedihan dan kesedihan mengiringi pengkebumian mangsa serangan udara tentera rejim Zionis. Mayat kanak-kanak pada latar depan foto itu ialah dua beradik — Suhaib Hijazi, budak perempuan yang baru berumur dua tahun, dan abangnya, Muhammad, tiga.
Dua lelaki yang memangku jenazah serta sekumpulan lelaki dengan wajah penuh kepedihan dan kesedihan itu adalah bapa saudara kepada dua budak berkenaan. Di celah-celah kumpulan lelaki itu, ternampak satu lagi mayat yang diusung. Itu ayah kepada dua kanak-kanak tersebut; Fouad namanya.
Kekuatan foto itu ialah kerana ia merakamkan emosi yang bertentangan dalam satu momen — antara duka nestapa dan amarah sekumpulan orang dewasa dengan kemurnian dan kejernihan wajah kanak-kanak yang kaku tidak lagi bernyawa. "Ia sekeping foto yang tidak akan dapat saya lupakan," kata juri pertandingan foto tahunan itu, Mayu Mohanna.
Paul Hansen
Foto itu dirakamkan oleh Paul Hansen, jurugambar akhbar harian Dagens Nyheter di Sweden. Hansen bukan seorang jurugambar yang asing di Sweden — enam kali pernah dinamakan sebagai jurugambar terbaik negara itu. Pada tahun 2010, dia dipilih oleh Picture of the Year International (POYi), sebuah lagi pertandingan jurnalisme foto antarabangsa, sebagai Jurugambar Terbaik Akhbar. Kerjayanya selama lebih 10 tahun membawa beliau ke banyak zon perang dan bencana.
Namun tidak semua orang bersetuju dengan foto-foto yang terpilih sebagai pemenang utama pertandingan seperti ini. Katalog foto terbaik pilihan World Press Photo saban tahun selalu dikritik kerana memenangkan foto yang merakamkan kesengsaraan dan penderitaan orang lain. Jurugambarnya selalu diingatkan, apakah mereka boleh tidur nyenyak dan bergembira dengan kemenangan itu?
Itulah yang terjadi ke atas Kevin Carter, jurugambar terkenal kelahiran Afrika Selatan. Dia membuat liputan episod kebuluran Afrika di Sudan pada 1993. Dia merakamkan foto seorang budak yang kurus cengkung tertunduk ke tanah lemah dan tidak berdaya lagi hendak berjalan ke khemah bantuan makanan. Hanya beberapa meter di belakang budak itu, seekor burung nasar menunggu masa untuk jadi pemangsa.
Cemuhan
Carter menjual foto itu dan disiarkan di akhbar The New York Times. Ia juga tersiar di banyak akhbar di serata dunia. Tetapi jurugambar muda itu — usianya 33 tahun — kemudian dihujani pertanyaan demi pertanyaan: "Apa yang terjadi kepada budak perempuan itu? Kenapa dia tidak diselamatkan?"
Dia dilemparkan pelbagai cemuhan termasuk kata-kata keras yang menyamakan dirinya tidak ubah sepert burung nasa lapar itu. Foto tersebut kemudian menang Hadiah Pulitzer. Dua bulan selepas menerima hadiah itu, Carter membunuh diri biarpun tragedi bunuh dirinya itu bukanlah 100 peratus berakibat daripada foto yang sekeping itu.
Tekanan yang dihadapi oleh Carter dek sekeping foto di Sudan itu adalah dilema yang tidak pernah selesai dibahaskan tentang peranan seorang wartawan — apakah mahu jadi saksi mata, pencatat, dan pemerhati atau harus jadi aktivis, terjun ke medan dan beraksi jadi penyelamat atau apa saja mengikut keadaan yang mendesak.
Orang barangkali terlupa bahawa kewartawanan foto merakamkan pengalaman kita bermasyarakat, berbudaya dan bernegara — dan selebihnya, saksi mata kepada sejarah perjalanan sebuah bangsa. Dalam sebuah dunia yang semakin mengecil, ia adalah rakaman sejarah kita semua. Kalau wartawan mencatatkan peristiwa dan membentuk sikap melalui tulisannya, jurufoto berita mengejutkan masyarakat dengan lensanya.
Seorang jurufoto berita adalah pertama-tamanya seorang wartawan. Dia harus memiliki watak, kualiti dan nilai diri sebagai seorang wartawan. Sekeping foto berita yang menarik bukan terletak pada tekniknya. Teknik jatuh nombor dua; seribu kata-kata yang dirakamkan oleh lensa itu yang lebih utama. Tetapi teknik yang terlalu buruk tentulah lazimnya menjadikan sekeping foto itu lebih jelek.
Foto berita itu adalah foto yang jujur sejujur-jujurnya — tidak mungkin boleh ditokok tambah dan direka-reka. Ia kerja membekukan suatu detik dalam keadaan yang sebegitu apa adanya pada satu momen yang tidak mungkin berulang
Momen
Bapa kewartawanan foto moden dunia, Henri Cartier-Bresson menyebutnya sebagai momen yang menentukan — bila mana seorang jurufoto itu memahami apa yang sedang berlaku di depannya adalah suatu perkara yang cukup penting dan dalam masa yang terlalu singkat dia mengenal pasti bentuk yang akan menjadikan peristiwa berkenaan dipaparkan dengan menarik.
Masa yang terlalu singkat itu hanyalah beberapa saat atau mungkin satu saat dan dia kemudian merakamkannya dalam detik adakalanya kurang daripada satu saat.
Maka tidak hairanlah kalau ada orang yang mengatakan bahawa foto berita adalah kemuncak seni fotografi. Sekeping foto berita yang baik tidak hanya merakamkan sebuah cerita yang kuat tetapi dipaparkan dengan komposisi garis dan warna yang juga bermakna. Ia juga menyampaikan pesan. Sekeping foto berita yang baik harus dapat menangkap mata, menjentik perasaan dan merangsang pemikiran — dan mungkin membangkitkan kesedaran.
Dek itulah, sekeping foto berita yang baik akan kekal lama dalam ingatan kita kerana imejnya yang kuat, paparannya yang berseni dan selebihnya, kerana emosi yang tersentuh begitu kita menatapnya.
Noor Azam Shairi
Wed Feb 20 2013
Prospek sektor korporat neutral pada 2025 - Fitch Ratings
Fitch Ratings berpandangan neutral terhadap sektor korporat Asia Pasifik (APAC) pada 2025.
MCMC peruntuk RM13.7 juta baik pulih WiFi di UM, USIM, UniMAP - Fahmi
MCMC peruntuk RM13.7 juta bagi tingkatkan akses internet di tiga universiti awam Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).
IPT di negara ini sedia kuasa AI sepenuhnya
Institusi pendidikan tinggi (IPT) di negara ini sudah bersedia menguasai bidang kecerdasan buatan (AI) sepenuhnya.
Sembilan siri latihan polis bantuan dirancang tahun depan
Sebanyak sembilan siri latihan polis bantuan dirancang untuk dilaksanakan di seluruh negara tahun hadapan berikutan permintaan yang semakin meningkat.
Pesaka sasar tujuh pingat emas di Kejuaraan Pencak Silat Dunia 2024
Pesaka meletakkan sasaran tujuh emas sama seperti edisi lepas bagi kontinjen pesilat negara yang akan membawa cabaran ke Kejuaraan Pencak Silat Dunia 2024 di Abu Dhabi.
MRA salur bantuan banjir bernilai lebih RM429,000
Sumbangan itu merangkumi bantuan makanan, bukan makanan dan perkhidmatan.
300 stesen pengecasan EV akan ditambah dalam tempoh dua tahun - Ab Rauf
Kerajaan Melaka cadang tambah hingga 300 stesen pengecas kenderaan elektrik (EV) dalam tempoh dua tahun akan datang, kata Ketua Menteri Ab Rauf Yusoh.
Tumpuan Sabtu – 14 Disember 2024
Ikuti rangkuman berita utama yang menjadi tumpuan di Astro AWANI.
10 Berita Pilihan - (13 Disember 2024)
Antara pelbagai berita dalam dan luar negara yang disiarkan di Astro AWANI, berikut adalah yang paling menjadi tumpuan sepanjang hari ini.
IPT di negara ini sedia sepenuhnya kuasai AI
Institusi pendidikan tinggi (IPT) di negara ini sudah bersedia menguasai bidang kecerdasan buatan (AI) sepenuhnya.
Hanya dengan tiru orang, Aizzul berjaya raih pendapatan lima angka
Baginya, untuk berjaya dalam bidang perniagaan adalah tiru setiap tindakan orang yang berjaya dan bukan hanya mendengar kata-kata mereka.
Kedai makan, penginapan tepi sawah keunikan baharu Sekinchan
Ideanya pernah digelar bodoh dan gila kerana hasrat mahu membuka kedai makan dan penginapan di tepi sawah di Sekinchan, Selangor.